
KUMPULAN PENGGUNA MAHU PENGELUAR SERAGAMKAN NAMA CIRI BANTUAN PEMANDUAN
Sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) kini sudah menjadi satu kelaziman pada kereta-kereta masa kini.
Untuk menjadikan penawaran produk yang lebih unik, ada sesetengah pengeluar yang cenderung untuk menggunakan nama yang pelik dan ini sudah pasti menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.
Seperti contoh, sistem brek kecemasan automatik merupakan satu ciri yang amat mudah difahami, namun ia menggunakan nama yang berbeza mengikut pengeluar seperti Subaru, Cadillac dan Toyota.
Tesla pula menggunakan nama Autopilot dan Full Self-Driving bagi menjelaskan ciri swapandu yang belum pun mencapai tahap penuh buat masa ini.
Kumpulan pengguna yang terdiri daripada Consumer Reports, AAA, J.D. Power, National Safety Council, PAVE dan SAE International sebulat suara menyeru pengeluar automotif untuk menyeragamkan kembali penggunaan nama bagi ciri keselamatan yang ditawarkan.
Menurut kumpulan tersebut, terminologi yang digunakan untuk ciri ADAS boleh mengelirukan pengguna, dan menjadikan mereka sukar untuk memahami ciri-ciri yang ditawarkan.
Terdapat enam segmen yang perlu diseragamkan penamaannya di dalam ADAS iaitu amaran pelanggaran, pengelakan pelanggaran, bantuan kawalan pemanduan, bantuan parkir, pemantauan pemandu dan ciri bantuan pemandu yang lain – Carscoops





