Motosikal

ROYAL ENFIELD HIMALAYAN MANA BLACK KINI DI MALAYSIA – RM32,700

Selepas diperkenalkan sebagai model edisi khas sempena sambutan ulang tahun ke-125 Royal Enfield, akhirnya Royal Enfield Himalayan Mana Black Edition kini tiba di pasaran Malaysia. 

Model ini dibangunkan berasaskan Himalayan 450, namun hadir dengan pelbagai aksesori premium yang dipasang terus dari kilang.

Nama “Mana” diambil sempena Mana Pass, salah satu laluan bermotor tertinggi di dunia yang terletak di Himalaya. Seperti namanya, model ini dibangunkan khusus untuk penunggang yang mahukan sebuah motosikal adventure yang mampu terus dibawa menjelajah sebaik sahaja keluar dari bilik pameran. 

Dari segi penampilan, Himalayan Mana tampil lebih garang menerusi kemasan Mana Black, iaitu warna hitam sepenuhnya dengan grafik topografi berwarna kelabu pada tangki minyak. 

Model ini turut dipasang pelbagai aksesori asli Royal Enfield antaranya pelindung tangan (handguard), pelindung enjin, tempat duduk jenis rally yang lebih tinggi serta rekaan pelindung belakang yang lebih ringkas bagi meningkatkan keupayaan ketika tunggangan off-road. 

Selain itu, model ini juga menggunakan rim jejari jenis tubeless, satu ciri yang sering diminta oleh peminat Himalayan kerana lebih praktikal ketika menunggang di laluan lasak dan memudahkan proses membaiki tayar sekiranya berlaku kebocoran.

Himalayan Mana masih dikuasakan enjin silinder tunggal 452cc DOHC yang menghasilkan sekitar 40hp dan 40Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan lengkap dengan klac assist & slipper. 

Sistem suspensi menggunakan fork USD di hadapan bersama monoshock di belakang, manakala sistem brek dilengkapi cakera pada kedua-dua roda dengan ABS dua saluran yang boleh dinyahaktifkan untuk tunggangan off-road.

Seperti Himalayan 450 standard, Mana turut menawarkan pelbagai teknologi moden termasuk paparan TFT yang menyokong navigasi Google Maps melalui aplikasi telefon pintar, mod tunggangan ABS, port USB-C serta pencahayaan LED penuh.

Apa yang membezakan Mana dengan Himalayan biasa ialah nilai tambah daripada aksesori kilang tersebut. Jika dibeli secara berasingan, kos keseluruhan aksesori boleh mencecah ribuan ringgit, menjadikan edisi ini pilihan lebih berbaloi kepada mereka yang memang merancang melakukan aktiviti touring atau adventure.

GALERI: ROYAL ENFIELD HIMALAYAN MANA BLACK EDITION

Google ads
Back to top button