
MAJORITI BELI EV SEBAB CIRI-CIRI MODEN, BUKAN SEBAB ALAM SEKITAR – KAJIAN
Menurut satu kajian terbaharu yang dijalankan oleh Polestar terhadap lebih 5,000 responden, kebanyakan pemilik EV di Amerika Syarikat membeli kenderaan elektrik bukan kerana mahu menyelamatkan bumi.
Sebaliknya, majoriti pembeli EV di sana mahukan sebuah EV disebabkan oleh sistem dan teknologi yang lebih moden.
Menurut Gregor Hembrough, bos Polestar Amerika Utara berkata, “idea kemewahan diterjemahkan oleh apa yang ditawarkan pada sesebuah EV, dengan keutamaan kepada ketersambungan yang lancar, integrasi ke dalam ekosistem digital sedia ada serta rekaan antaramuka yang bagus.
“Orang ramai bertukar kepada kenderaan elektrik bukan sekadar sebab alam sekitar, dan fokus Polestar adalah untuk membolehkan mereka mendapat apa yang mereka mahukan di dalam sebuah pakej yang mesra alam.
Kajian itu mendapati golongan yang lebih muda sebenarnya lebih prihatin terhadap alam sekitar berbanding golongan yang lebih tua.
Menurut Polestar, 12 peratus daripada golongan Gen Z (18-24 tahun) lebih prihatin terhadap aspek alam sekitar, di mana angka tersebut dua kali ganda lebih tinggi berbanding generasi Millennial (25-41 tahun) dan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding generasi Baby Boomer (57-74 tahun).
Umur memainkan peranan yang penting terhadap kepercayaan pada sesuatu jenama.
57 peratus golongan Millennial mempercayai syarikat pemula kenderaan elektrik, manakala hanya 28 peratus sahaja generasi Baby Boomer mempercayai jenama seperti Polestar, Tesla, Lucid dan Rivian.
Namun, merentasi semua demografik umur, 46 peratus golongan pembeli menyebut mereka terbuka kepada mana-mana jenama baharu untuk membeli sebuah EV baharu. – Carscoops







