Buletin

ALIRAN TUNAI MAKIN KURANG, MCLAREN CEBURI DUNIA FESYEN

McLaren kini menceburi dunia fesyen apabila pembuat supercar dari Britain itu mengeluarkan kasut edisi terhad, HySpeed. Inisiatif itu dibuat bagi memastikannya kekal relevan dari segi budaya dan mendapat perhatian daripada selebriti seperti Lady Gaga dan Chrissy Teigen yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan syarikat gergasi pakaian olahraga, Lululemon.Inc.

Projek itu telah dibangunkan selama dua tahun bersama jenama kasut, Athletic Propulsion Labs untuk penampilan sulung kasut mereka.

HySpeed tampil dengan elemen reka bentuk daripada supercar McLaren seperti tempat duduk, rekaan aerodinamik dan kusyen yang diselitkan dengan nitrogen.

“Kami kini sedang cuba untuk membentuk kerjasama perlesenan melibatkan aksesori lain seperti cermin mata hitam, kasut atau pakaian jalanan,” kata Ketua Pegawai Pemasaran McLaren, Gareth Dunsmore.

Eksekutif Athletic Propulsion Labs berkata mereka merancang untuk mengembangkan perjanjian dengan McLaren. “Kami mempunyai banyak perkara yang dirancang pada masa hadapan dengan McLaren. Ini adalah impian yang menjadi kenyataan,” kata pengasas bersama APL Ryan Goldston.

McLaren sedang melalui waktu sukar akibat pandemik dan kelewatan pengeluaran model terbaharu mereka, Artura. Bulan lalu, syarikat itu telah mengumpul dana sebanyak AS$150 juta (RM668 juta) daripada pemegang saham apabila aliran tunainya semakin kurang.

McLaren juga dilihat cuba untuk mendapatkan peminat baharu di Amerika Syarikat A.S melalui pasukan Formula 1 mereka. Pada Julai, pasukan itu menandatangani pelbagai perjanjian penajaan termasuklah dengan jenama kasut, K-Swiss yang akan mula memasuki pasaran pada tahun hadapan.

Google ads
Back to top button