Artikel Pilihan

LADA NIVA 2020 – KINI LEBIH SELESA TAPI KEKALKAN PENAMPILAN LUARAN

Jika Amerika berbangga dengan Jeep dan Britain mempunyai Land Rover untuk menguasai pasaran 4×4, Russia tidak kurang popular dengan Lada Niva yang dikenali di serata dunia walaupun mungkin kurang dikenali di negara kita. Lada Niva ini sebenarnya cukup kukuh dan versatil jika digunakan sebagai kenderaan off-road.

Kini Lada baharu sahaja memperkenalkan Lada Niva 2020 kepada dunia dengan beberapa ciri naik taraf untuk menambah baik kualiti pemanduan. Tapi bagi yang dah kenal Lada Niva ni, tengok dari jarak 20 batu pun dah boleh cam. Memang tak berubah langsung dari luar.

Penambahan tersebut sebenarnya lebih kepada bahagian dalaman kabin untuk memberi lebih keselesaan kepada pemandu dan juga penumpang selain meningkatkan tahap keselamatan.

Papan pemuka kini diperkemaskan lagi dengan kawalan sistem penyaman udara baru menggunakan dial dan corong penyaman udara yang lebih besar. Paparan meter juga diberi nafas baru dan dilengkapi dengan unit paparan digital untuk memberikan maklumat kepada pemandu.

Selain daripada itu, ia kini juga dibekalkan dengan glove box bersaiz lebih besar dan dua punca kuasa 12V di bahagian konsol tengah. Kalau dapat punca kuasa USB lagi baik sebenarnya tapi okeylah untuk sebuah 4×4 lagenda keluaran Russia.

Ruang storan kecil dan dua pemegang cawan juga terletak di bahagian tengah konsol untuk memudahkan capaian.

Bahagian lain yang ditambah baik termasuklah bahagian tempat duduk untuk sokongan yang lebih baik. Selain daripada itu tempat duduk belakang kini juga dipasangkan dengan perehat kepala. Nampak macam biasa tapi sebelum ni memang tak ada okey.

4×4 Lada yang rugged ini juga kini lebih senyap dengan tahap gegaran yang semakin berkurangan dengan penggunaan mounting enjin dan tebatan bahagian badan yang lebih baik.

Itu bahagian dalaman, lain pula dengan bahagian luaran. Tidak ada apa yang berubah di bahagian luaran kecuali sepasang lampu kabus yang dipasang pada bahagian bumper hadapan. Selain daripada itu boleh dikatakan ia masih kekal dengan rupa asal Lada Niva yang memang sudah cukup dikenali.

Malah enjinnya juga masih kekal menggunakan unit 1.7L 4-selinder yang mampu menghasilkan 82 hp kuasa dan 129 Nm tork maksima. Ia kemudiannya dipadankan dengan kotak gear manual 5-kelajuan dan sistem 4WD standard dengan low range.

Google ads
Back to top button