Buletin

BERUSIA PULUHAN TAHUN, LADA SETIA JADI TEKSI DI ALEXANDRIA

Selepas beberapa hari di Kaherah, Aswan dan Luxor, saya kini berada di lokasi terakhir sebelum pulang ke Kuala Lumpur, Alexandria.

Berbanding Kaherah yang berdebu dan sangat chaotic, bandar Alexandria yang terletak di sebelah laut Mediterranean ini jauh lebih menarik.

Bandar yang meriah dengan aktiviti ekonomi itu menerima pengaruh warisan Mesir purba, Greek, Roman, Yahudi dan Uthmaniah, sekali gus menjadikannya cukup unik.

Dibuka oleh Alexander the Great, bandar ini nyata lebih moden dan tersusun. Orang-orang di sini juga lebih friendly dan tidak sekasar mereka di Kaherah. Malah, ramai yang belajar di Kaherah, apabila datang ke sini seperti tidak mahu balik. Begitu sekali penangan bandar Alexandria.

Di sebalik bangunan berwarna coklat yang menerima pengaruh seni bina Rom dan tidak pernah dicat itu, puluhan kereta lama berwarna kuning hitam menarik perhatian saya.

Itulah teksi yang digunakan oleh warga Alexandria atau lebih mesra dipanggil Alex. Oh ya, selain teksi, van yang dipanggil tramco dan tram juga menjadi mode pengangkutan utama di sini.

Melihat dari dekat, sedan berkotak itu sebenarnya ialah model keluaran Rusia, Lada yang sudah berusia puluhan tahun. Antara model yang menjadi pilihan ialah Lada 2105, Lada 2106 dan Lada 2107.

Lada 2105 yang dihasilkan oleh pihak AvtoVAZ sebenarnya ialah model Fiat 124 yang diberi penambahbaikan. Diperkenalkan pada tahun 1980 di Soviet Union, ia juga ada ditawarkan dalam versi station wagon.

Dikenali sebagai siri Lada klasik. Produksi di Rusia ditamatkan pada tahun 2010, tetapi siri Lada 2107 terus dihasilkan di kilang Suzuki di Mesir sehingga tahun 2015. Harus tahu bahawa siri Lada itu menjadi platform kereta paling laris di dunia selepas Volkswagen Beetle dan Ford Model T.

Ia juga menjadi antara model paling lama diproduksi selain Beetle, Hindustan Ambassador dan Volkswagen Type 2.  

Sedan Lada itu menggunakan khidmat enjin bersesaran 1.3 liter atau 1.5 liter yang mampu menjana kuasa 65hp dan dipadankan dengan kotak gear manual.

Walaupun jenama asalnya Lada, ada juga pemandu yang melekatkan emblem jenama lain seperti Chevrolet, Toyota dan Hyundai.

Di Alex, kadar tambang teksi ini adalah sekitar 20 pound mesir atau RM5 bagi perjalanan sejauh lima kilometer. Mendapatkan teksi di sini juga sangat mudah, angkat sahaja tangan, Lada ini akan sampai di depan mata anda.

Meninjau dari jauh, payah sangat nak jumpa teksi Lada ini yang berada dalam keadaan baik dan cantik. Bahagian luar dan dalam sama sahaja buruknya.

Saya sempat beberapa kali naik turun teksi ini untuk pergi ke lokasi tumpuan pelancong.

Daripada banyak-banyak teksi itu, hanya satu sahaja yang boleh dikatakan bersih, bakinya berhabuk macam sudah berbulan tidak dibasuh. Redho je lah.

Semua teksi itu dilengkapi meter, cuma gua atau tidak itu soal kedua. Apa pun, kalau ditukar ke Ringgit Malaysia, tambangnya tetap masih terlalu murah.

Memandangkan hampir semua pemandu teksi tidak boleh berbahasa Inggeris, maka agak mustahil untuk pelancong menggunakan perkhidmata ini.

Sama seperti negara-negara lain, industri teksi di sini turut menerima kesan akibat populariti penggunaan e-hailing Uber dan pemain tempatan, Careem. Jadi, jika anda ke sini, boleh sahaja gunakan aplikasi Uber atau Careem, mengikut kesesuaian.

Google ads
Back to top button