Buletin

ŠKODA ENYAQ COUPÉ iV vRS, SUV ELEKTRIK YANG CANTIK!

Penawaran kenderaan elektrik (EV) sekarang ini semakin rancak. Di Eropah terdapat pelbagai model yang boleh dipilih sama ada dari jenama kebanyakan atau premium.

Bukan setakat itu, EV di sana juga merentasi pelbagai segmen, ada saiz kecil, besar, sport dan SUV.

Terbaru ŠKODA memperkenalkan ŠKODA ENYAQ COUPÉ iV yang merupakan model susulan selepas ENYAQ iV diperkenalkan pada September 2020.

Beza ketara adalah pada gaya badan, nama coupé yang digunakan bermaksud model ini tampil lebih sporty.

 

 

Dengan gayaan badan tersebut, ciri aerodinamik turut bertambah baik dengan pekali seretan (cd) 0.234.

Seperkara yang menarik, saiz ruang bagasi boleh tahan luas iaitu 570 liter. Gaya dapat, nak simpan barang banyak pun dapat sekali.

Ada beberapa varian diperkenalkan sekali dan paling sporty dan berkuasa tinggi adalah ENYAQ COUPÉ iV vRS yang merupakan ŠKODA vRS pertama dengan nadi elektrik penuh.

Dari segi kuasa, ENYAQ COUPÉ iV vRS mempunyai output setinggi 220 kW dengan tork maksimum 460 Nm. 

Sebagai perbandingan varian ENYAQ COUPÉ iV 80 berkuasa 150 kW manakala varian  ENYAQ COUPÉ iV 80x berkuasa 195 kW.

Walaupun mempunyai kuasa lebih rendah, ENYAQ COUPÉ iV 80x dipacu roda belakang.

ENYAQ COUPÉ iV 80x dan ENYAQ COUPÉ iV vRS pula mempunyai tambahan motor di bahagian depan menjadikannya sebuah SUV pacuan semua roda.

Meskipun berbeza pacuan, kedua-dua ENYAQ COUPÉ iV vRS dan ENYAQ COUPÉ iV 80x mampu menunda dengan keupayaan sehingga 1,400 kg.

Dari segi prestasi, ENYAQ COUPÉ iV vRS mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.5 saat manakala kelajuan maksimum adalah 179 km/j.

Bateri dengan kapasiti 82 kWh (ENYAQ COUPÉ iV dan vRS) boleh dicas dari 10 peratus hingga 80 peratus dalam masa 29 minit sahaja menggunakan pengecasan pantas.

Untuk cas semalaman di rumah pula ada pengecas AC ŠKODA iV Charger dengan kuasa sehingga 11 kW.

ŠKODA menyediakan kabel pengecasan Mode 3 sebagai kelengkapan standard dan SUV ini boleh juga dicas dengan kuasa 2.3 kW melalui soket 230 volt di rumah menggunakan kabel pilihan Mode 2.

Turut ditawarkan ialah pengecas universal iV dengan penyambung plug boleh ditukar dan adapter CEE dengan kuasa pengecasan sehingga 11 kW menggunakan soket 400 volt. 

Adapter Schuko pula boleh disambung dengan soket di kediaman.

Dari segi pengendalian, ada perbezaan yang dibuat dengan kedua-dua ENYAQ COUPÉ iV SportLine dan ENYAQ COUPÉ iV vRS menggunakan casis sport sebagai ciri standard.

Bahagian depan 15 mm lebih rendah dan di belakang diturunkan 10 mm. Gayaan pun tak sama dengan varian Sportline mempunyai air curtain bentuk C manakala vRS pula berbentuk E.

Pada bampar belakang, ENYAQ COUPÉ iV vRS dilengkapi lampu pantulan dengan ukuran penuh dari kanan ke kiri yang merupakan identiti model vRS.

Lagi ciri eksklusif pada model ENYAQ COUPÉ iV vRS adalah roda Taurus saiz 20 inci dan jika mahu lebih istimewa ŠKODA menawarkan roda Vision saiz 21 inci dengan warna anthracite.

ŠKODA melengkapi varian paling sporty ini dengan vRS Suite iaitu kerusi sport dibalut kulit berongga dan ‘paip’ berwarna kelabu dan sulaman warna kontra serta logo vRS pada penyandar kepala.

Tema kemasan tersebut juga diguna pada stereng sport manakala papan pemuka menggunakan bahan seakan kulit bagi menyamai kerusi.

Selain itu, papan pemuka dan kulit pintu diriasi kemasan ala gentian karbon dan logo vRS pada penyandar kepala.

ENYAQ COUPÉ iV dan ENYAQ iV dikeluarkan di kilang utama ŠKODA di Mladá Boleslav, Republik Czech dan satu-satunya kenderaan dengan platform MEB Kumpulan Volkswagen yang dipasang di luar Jerman.

BACA: ŠKODA OCTAVIA vRS 2020, WAGON ATAU SEDAN?

BACA: TAHUKAH ANDA ŠKODA AUTO BERMULA DENGAN BASIKAL?

BACA: ŠKODA OCTAVIA GUNA ENJIN 1.0L TSI – 110PS 200NM

Google ads
Back to top button