
LAMAN WEB PERODUA TAYANG 5 CIRI UTAMA PERODUA ALZA 2022
Walaupun pelancaran Perodua Alza 2022 terpaksa ditunda atas sebab beberapa isu teknikal dan juga isu pentadbiran, ia tidak menghalang daripada Perodua terus menayangkan beberapa lagi ciri menarik yang ada pada MPV mampu milik ini di laman sesawang rasmi Perodua.
Antara ciri-ciri unik yang bakal diketengahkan oleh Perodua Alza 2022 melalui 5 video iklan pendek termasuklah:
1. Teknologi – pengenalan mode pemanduan Eco yang boleh diaktifkan dengan menggunakan butang bagi menala enjin 1500cc dual VVT-i dan transmisi Dual Mode CVT ke arah penggunaan tenaga yang cekap.
Ini membolehkan Alza mendapat purata penggunaan petrol pada 22km/liter. Pada masa sama Alza turut menyediakan mode pemanduan Normal dan juga Power.
2. Keselamatan – kamera 360 darjah yang memberikan pandangan sekeliling dan boleh diaktifkan pada bila-bila masa sewaktu memandu dan melalui jalan sempit atau memarkir kereta. Anda juga akan perasan cermin sisi diletakkan pada pintu tepi bagi meminimakan kesan titik buta.

3. Keselesaan – penyandar kusyen barisan kedua boleh diubah sudut menjadi lebih selesa selain disediakan perehat tangan di bahagian tengah. Video juga menunjukkan penumpang dewasa masih boleh duduk di barisan ke 3 dengan selesa
4. Brek elektrik – terdapat satu video menunjukkan Alza menggunakan brek parkir elektrik yang datang dengan ciri auto hold. Ciri ini menunjukkan brel belakang Alza menggunakan brek cakera.
5. Rekaan baru – Alza akan datang dengan jeriji rekaan baru yang lebih moden, dengan menyembunyikan kamera di bahagian jeriji depan dan lampu depan LED dengan teknologi auto high beam atau Adaptive Driving Beam
Terdapat 3 varian yang disediakan samaada X, H ataupun AV. Varian X tidak menerima ciri mode pemanduan, perehat tangan barisan ke 2, dan menggunakan auto high beam. Varian X juga hanya menerima Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention dan penderia mengundur belakang sahaja.
Hanya varian AV sahaja yang menerima ciri premium seperti kusyen balutan kulit, skrin sebesar 9 inci, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist, Amaran Titik Buta, sistem Amaran Lintasan Belakang, brek parkir elektrik, kamera 360 darjah, sensor parkir depan dan juga lampu depan adaptif.
Terdapat 5 warna yang disediakan samaada Vintage Brown, Elegen Black, Garnet Red, Glitterimg Silver atau Solid White. Ia turut disediakan dengan jaminan 5 tahun atau 150,000km jarak perjalanan.