" "
Buletin

LAMBORGHINI AVENTADOR S 2017 – 740hp, RM1.9 JUTA

Selepas hampir enam tahun hadir di Geneva untuk menggantikan Murcielago, Lamborghini mahu membuat penambahbaikan yang signifikan ke atas Aventador S untuk tahun 2017.  

Model utama dari Sant’Agata itu tampil dengan reka bentuk lebih agresif, dinamik pemanduan baru dan lebih berkuasa. Aventador S dijana oleh enjin aspirasi biasa V12 bersesaran 6.5 liter.

2017-lamborghini-aventador-s-mekanika-4

Pasukan jurutera Lamborghini telah menala enjin itu bagi membolehkannya menjana kuasa mencecah 740hp dan tork 690Nm. Untuk mencapai angka tersebut, Variable Valve Timing dan Variable Intake System telah dioptimumkan dengan takat merah jarum rpm dinaikkan kepada 8,500 rpm.

BACA: LAMBORGHINI MURCHIELAGO DIRANAPKAN

BACA: SET LAMBORGHINI ESAVOX UNTUK PENCINTA AUDIO

Dengan berat badan 1,575kg yang sama seperti model sebelum ini,  Aventador S hanya memerlukan masa 2.9 saat untuk memecut dari 0 hingga 100km/j. Aspek nisbah berat-kuasa juga telah ditambah baik kepada 2.13kg/hp.

2017-lamborghini-aventador-s-mekanika-5

Menyifatkannya sebagai generasi baru Aventador, jentera tersebut menerima pelbagai peningkatan dari segi luarannya. Antaranya ialah splitter hadapan lebih panjang, peresap angin (air diffuser) dengan opsyen gentian karbon berwarna hitam dan banyak lagi.

Semua ini memberi penambahbaikan kadar downforce bahagian hadapan sehingga 130 peratus berbanding model terdahulu. Sayap di belakang boleh diubah suai kepada tiga posisi, sekali gus meningkatkan kecekapan aerodinamik sebanyak 50 peratus dan mengurangkan seretan sehingga 400 peratus.

2017-lamborghini-aventador-s-mekanika-2

Lamborghini menggunakan kerangka monokok gentian karbon yang sama ketika membangunkan Aventador S. Namun, jentera itu ditambah dengan stereng empat roda, pertama pada siri produksi Lamborghini.

Sistem stereng tersebut didakwa mampu meningkatkan tahap kelincahan kereta pada kelajuan rendah dan sedehana. Selain menambah kestabilan ketika dipandu laju. Semua mode pemanduan pada Aventador S juga telah disemak semula. Ia kini hadir dengan mode Ego, selain Strada, Sport dan Corsa yang membolehkan pemandu mengubah talaan suspensi dan rangkaian kuasa mengikut kehendak mereka.

2017-lamborghini-aventador-s-mekanika-6

Perisian pada Electronic Stability Control (ESC) dikemas kini untuk membolehkannya memberi maklum balas lebih pantas. Manakala sistem AWD membolehkan 90 peratus kuasa dihantar ke roda belakang apabila mode Sport digunakan.

Di ruang kabin, sistem infotaimen tampil dengan ciri Apple CarPlay bersama papan pemuka digital TFT baharu. Sistem telemetri Lamborghini yang berfungsi merakamkan catatan masa, prestasi di trek dan sebagainya ditawarkan secara berasingan.

Di pasaran Amerika Syarikat, Aventador S ditawarkan pada harga bermula $421,350 (RM1.9 juta) seunit. Penghantaran pertama dijadual pada musim bunga tahun depan.

Google ads
Back to top button