
LAMBORGHINI AVENTADOR SVJ INI SEBENARNYA HONDA CIVIC
Lamborghini Aventador SVJ merupakan antara supercar yang menjadi idaman penggemar automotif tetapi tag harga yang agak tinggi membantutkan impian memiliki jentera mewah terbabit.
Begitupun, ia tidak menghalang peminat jenama Lambo itu membikin kereta menjadi jentera idaman.
Perkongsian video dreamcustomsindia melalui Instagram memaparkan sebuah Honda Civic sedan mendapat sentuhan tersendiri diubah suai menjadi Lamborghini Aventador SVJ.

Melalui video berkenaan, ia tidak menunjukkan bagaimana proses projek itu dilakukan. Percaya atau tidak, produk akhir projek tersebut memang meletup.
Kesemua panel yang dapat dilihat pada jentera itu mirip Aventador SVJ termasuk bamper, bonet, splitter dan fender.
Lampu utama dan belakang pula sama seperti jentera asal malah mendapat pintu gunting (scissor door) dan paip ekzos berkembar.

Ruang dalaman turut diubah suai dengan dipadankan stereng baharu dan paparan skrin pada bahagian tengah kokpit.
Difahamkan, replika Aventador SVJ tersebut merupakan antara yang terbaik pernah mendapat sentuhan kustom di negara India. –cartoq