
ORANG KAYA BALAS DENDAM, UNIT LAMBORGHINI TAHUN 2021 HAMPIR HABIS DIJUAL
Pembelian balas dendam oleh golongan kaya yang terpaksa terperap di dalam rumah selama berbulan-bulan lamanya akibat pandemik COVID-19 membuatkan model Lamborghini untuk tahun 2021 hampir habis dijual.
Jenama pengeluar supercar dari Itali itu menjangkakan kadar pertumbuhan yang memberangsangkan pada tahun ini apabila sudah berjaya menjual kira-kira 10 bulan kapasiti pengeluarannya. Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lamborghini, Stephan Winkelmann pada acara Milano Monza Motor Show.
“Walaupun terpaksa memberhentikan operasi selama dua bulan akibat pandemik, Lamborghini menamatkan tahun 2020 dengan positif. Penyerahan Lamborghini juga melonjak sebanyak 25 peratus sepanjang suku pertama tahun ini,” kata Winkelmann.
Biarpun pembeli terus menyatakan minat untuk membeli jentera berprestasi tinggi seperti Aventador, Lamborghini dilihat sudah memulakan transisi ke arah mengelektrifikasikan model keluarannya. Ia sanggup berbelanja sebanyak AS$1.8 bilion (RM7.45 bilion) untuk menawarkan versi hibrid bagi setiap model menjelang tahun 2024.
“Lamborghini tidak mahu menjadi penggerak utama. Dari segi elektrifikasi, kami perlu memilih masa yang tepat iaitu apabila pasaran sudah bersedia dan kami akan jadi yang terbaik,” katanya lagi.