Motosikal

MOTOGP JEPUN: LIMA KEJUARAAN TAPI SAYA MAHU LEBIH LAGI – MARC MARQUEZ

‘”Jika anda berjaya mendapat tempat kedua ia adalah musim yang baik tetapi matlamat sebenar berlumba tidak tercapai. Selagi saya masih berlumba, saya akan terus menambah jumlah kejuaraan”  demikian kata Marc Marquez, juara dunia MotoGP lima kali terbaru.

Dengan lima kejuaraan MotoGP dalam masa hanya enam tahun, Marc Marquez kini sudahpun berada dalam kelompok elit penunggang yang telah memenangi kejuaraan MotoGP secara berturut-turut. Kini beliau sudah setanding dengan Mick Doohan , juara GP500 lima kali,  di belakang Valentino Rossi (7 kali kejuaraan) dan lagenda Itali Giacomo Agostini (8 kali kejuaraan).

Ramai pemerhati berkeyakinan yang Marquez yang baru berusia 25 tahun akan merangkul lebih banyak kejuaraan selepas kejayaan terbaru yang disahkan pada litar Motegi hujung minggu lepas. Jika kelas terdahulu (Moto2/Moto3) diambil kira Marquez sebenarnya sudah mengumpul 7 kejuaraan dunia sejak penampilan beliau dalam GP motosikal dunia.

Marquez menyatakan yang beliau tidak pernah peduli tentang rekod kemenangan kerana setiap musim perlumbaan adalah berbeza. Tapi dengan baki kontrak lagi dua tahun bersama Honda, beliua akan terus berjuang untuk menjadi juara.

Pada permulaan musim hadapan Marquez akan mensasarkan untuk menjadi juara sekali lagi kerana memang itu tujuan berlumba dan semestinya beliau akan menghadapi tekanan yang tinggi sama seperti pelumba-pelumba teratas lain. Kesemua akan berjuang demi kejuaraan. Tak ada seorang pun yang berlumba macam budak- budak baru habis exam.

BACA: SIAPA MAMPU MENGHALANG MARQUEZ DARI MENJADI JUARA KALI KELIMA MOTOGP?

Menyingkap sejarah hidup beliau, Marquez mula menunggang seawal empat tahun dan beliau mengakui yang tidak pernah menyangka akan bergelar juara dunia satu hari nanti seperti sekarang.

Sudah tentu tiada siapa yang bakal menyangka dan setiap musim adalah seperti impian yang menjadi nyata. Marquez seolah-olah tidak percaya dengan pencapaian beliau . menjadi pelumba MotoGP satu perkara, saban tahun berjuang untuk kemenangan dan seterusnya berada dalam kelompok teratas dan seterusnya menjadi juara adalah sesuatu yang cukup menakjubkan, sambung Marquez.

Walaupun anda seorang pelumba yang sangat berbakat (tak kiralah jenis perasan sendiri ataupun hasil pujian orang lain), ia adalah sangat berbeza dengan menjadi seorang pelumba MotoGP. Ini kerana ia merupakan medan pertarungan pelumba terbaik dunia dan 19 perlumbaan sepanjang tahun merupakan cabaran terbesar kepada semua pelumba untuk mengekalkan rentak kemenangan.

Kemenangan Marquez di Motegi merupakan kali ketiga buat beliau bersama Honda dan Marquez secara berseloroh menyatakan yang kemenangan di hadapan bos-bos HRC ini mungkin akan membolehkan mereka menerima bajet yang lebih untuk musim depan.

Sudah tentu tekanan untuk Marquez lebih tinggi bila berlumba di hadapan para pembesar Honda tetapi seperti beliau katakan beliau sendiri cukup selesa berlumba di bawah tekanan. Tahniah Marc Marquez.

Google ads
Back to top button