Buletin

LAMBORGHINI HURACÁN STERRATO ALL TERRAIN AD PERSONAM, 12 UNIT TERHAD SEMUA DAH HABIS!

Lamborghini Huracán Sterrato All−Terrain Ad Personam bermaksud sedozen edisi terhad yang diilhamkan dari empat permukaan bumi berbeza untuk Huracán Sterrato menunjukkan kebolehannya.

Grafik kereta dibangunkan studio Ad Personam bersama Centro Stile Lamborghini dan permukaan bumi tersebut merujuk kepada salji, pasir, laluan luar dan tanah gersang.

Setiap empat versi Sterrato menggunakan skema warna samaran kusam yang direka oleh studio Ad Personam Lamborghini dan warna persekitaran yang dijadikan inspirasi.

Empat warna itu merujuk kepada geografi masing-masing, NEVE (salji), SABBIA (berpasir), BOSCO (laluan hijau) dan TERRA (berkelikir). 

Bumbung dan bahagian atas bonet diwarnakan hitam kusam termasuk rel dan palang bumbung. Sisi bawah juga warna hitam dan diriasi warna terang yang khusus untuk setiap empat versi.

Rim Morus 19 inci hitam kusam berlawanan dengan angkup brek mengikut warna riasan seperti hijau, merah dan oren. 

Secara keseluruhannya tema tersebut cocok dengan keperibadian Sterrato yang lasak dan terampil.

Bahagian dalam membawa tema krom gelap dan twil karbon dengan Alcantara. Grafik Sterrato dibuat menggunakan laser dan plat Ad Personam menunjukkan keistimewaan model ini.

Sterrato digerakkan enjin 5.2 liter V10 yang menghasilkan 610 ps dan tork 560Nm pada 6,500 rpm.

Enjin dipadan bersama kotak gear dua cekam tujuh kelajuan dan pacuan semua roda kawalan elektronik dengan pembeza mekanikal belakang penguncian sendiri.

Trek roda yang lebar dan badan tinggi membantu Sterrato meredah permukaan bumi yang asing buat Lamborghini kecuali si Urus.

Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 3.4 saat dan kelajuan tertinggi mencecah 260 km/j.

Kepada yang berhajat, semua telah dijual kepada pelanggan terpilih di tiga pasaran utama iaitu Amerika Syarikat dan Amerika Latin (ALA), Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA), Asia Pasifik dan Australia (APAC).

Jumlah itu daripada 1,449 buah Sterrato dengan penghantaran bermula pada 2023. Gambar-gambar Sterrato di dalam negara juga sudah dimuat naik di dalam media sosial.

Setiap negara EMEA termasuk pasaran lain akan menerima empat kereta mengikut keunikan negara masing-masing.

Google ads
Back to top button