Buletin

LAMBORGHINI PERKENAL URUS SE PERFORMANTE 800HP, TAMPIL LEBIH RINGAN

Lamborghini sekali lagi menaikkan penanda aras SUV prestasi tinggi menerusi pelancaran Urus SE Performante, model paling berkuasa dan terpantas pernah dihasilkan dalam keluarga Urus setakat ini.

Hampir sedekad selepas Urus pertama diperkenalkan dengan enjin V8 turbo berkembar, evolusi model tersebut kini memasuki era hibrid prestasi tinggi.

Selepas kemunculan Urus SE pada tahun lalu dengan sistem plug-in hybrid (PHEV), Lamborghini kini memperkenalkan versi Performante yang lebih agresif dari segi kuasa, pengendalian dan aerodinamik.

Jentera baharu itu menggunakan gabungan enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar bersama motor elektrik segerak, dipadankan dengan bateri 25.9kWh. Hasilnya, Urus SE Performante menghasilkan 800HP dan 738 lb-ft tork, menjadikannya SUV paling pantas pernah dibina Lamborghini.

Menurut pengeluar dari Itali itu, SUV berprestasi tinggi tersebut mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 312 km/j.

Bateri hibrid yang ditempatkan di bawah ruang kargo bukan sahaja membantu menurunkan pusat graviti kenderaan, malah membolehkan SUV ini bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh kira-kira 60 kilometer.

Kotak gear automatik lapan kelajuan turut diberikan talaan semula bagi meningkatkan tindak balas kuasa dan mengurangkan kelewatan tork.

Sistem pacuan semua roda dengan klac tengah elektronik pula membantu memastikan penghantaran kuasa lebih cekap dalam pelbagai keadaan pemanduan.

Bagi aspek pengendalian, Lamborghini melengkapkan model ini dengan suspensi udara dua ruang yang dipertingkatkan.

Sistem tersebut dikatakan mampu mengurangkan olengan badan sehingga 55 peratus berbanding Urus SE biasa, selain membantu mengurangkan getaran casis.

Penggunaan tayar baharu Pirelli P Zero bersaiz 22 atau 23-inci turut membantu meningkatkan tahap cengkaman sehingga enam peratus.

Tidak sekadar menambah kuasa, Lamborghini turut memberi perhatian kepada aspek pengurangan berat dan aerodinamik. Penggunaan gentian karbon pada bahagian seperti hud, bumbung dan skirt sisi membantu mengurangkan berat keseluruhan sehingga sekitar 32 kilogram berbanding Urus SE standard.

Sistem ekzos Akrapovič baharu yang lebih ringan, bersama beberapa komponen brek dan pakej NVH yang dipertingkatkan, turut menyumbang kepada pengurangan berat keseluruhan SUV ini.

Secara keseluruhan, Urus SE Performante mempunyai berat sekitar 2,473 kilogram.

Dari sudut aerodinamik, model ini menawarkan rintangan angin lebih rendah, selain peningkatan daya mendap ke bawah yang membantu kestabilan ketika dipandu pada kelajuan tinggi.

Spoiler dan diffuser gentian karbon di bahagian belakang memainkan peranan penting dalam memastikan aliran udara lebih efisien, manakala rekaan bahagian depan yang lebih lebar membantu penyejukan bateri dan sistem brek.

Setakat ini, Lamborghini masih belum mengumumkan harga rasmi Urus SE Performante. Namun, melihat kepada harga Urus SE standard yang mencecah lebih AS$252,000 (RM1,029,924), versi Performante dijangka hadir dengan tanda harga yang jauh lebih premium.

Google ads
Back to top button