
LAND ROVER DEFENDER OCTA BLACK 2026 DIDEDAHKAN – JANA 626HP, ANGGARAN HARGA RM800K
Selepas setahun berada di pasaran, Land Rover Defender Octa kini tampil dengan edisi istimewa terbaharu yang lebih eksklusif dan ekstrem, dikenali sebagai Defender Octa Black 2026.
Seperti namanya, model ini tampil dengan sentuhan serba hitam yang memberikan aura lebih misteri dan mengancam.
Namun sebelum ketahui lebih dalam kelainan versi Black ini, mari kita lihat semula apakah itu Defender Octa. Ia merupakan model Defender 110 empat pintu yang direka khas untuk aksi off-road berkelajuan tinggi, sebagai jawapan Land Rover terhadap model seperti Ford Raptor, RAM TRX serta RHO.


Jantung mekanikalnya ialah enjin V8 4.4-liter twin-turbo dengan 626hp, dipadankan dengan long-travel suspension, penyerap hentak hidraulik interlinked yang canggih, badan lebih lebar serta tayar lasak bersaiz besar.
Bagi versi Octa Black, Land Rover memilih warna Narvik Black sebagai asas, digelar sebagai hitam paling tulen dalam senarai warna Defender. Kemasan kilat adalah standard, tetapi pembalut matte turut ditawarkan bagi mereka yang mahukan tampilan lebih low-profile.
Lebih 30 komponen luaran diberikan sentuhan hitam, termasuk plat pelindung hadapan dan belakang serta cangkuk penyelamat yang kini disadur dengan kemasan satin.


Tip ekzos, rim (20-inci untuk tayar semua medan atau 22-inci untuk tayar musim biasa), dan angkup brek semuanya berwarna hitam berkilat. Bahkan tayar dan logo Land Rover di gril juga dihitamkan.
Bahagian kabin juga menyambung tema monokrom ini dengan gabungan upholsteri kulit semi-aniline dan fabrik campuran Kvadrat.
Struktur papan pemuka ikonik Defender, Cross Car Beam, turut menerima kemasan satin hitam, manakala pilihan kemasan gentian karbon juga tersedia untuk mereka yang mahu tekstur berbeza.
Land Rover belum mengumumkan harga rasmi, tetapi Defender Octa Black ini bakal dijual melebihi AS$170,000 (sekitar RM800,000).



