
PAKAR DEDAHKAN PUNCA ANDA MABUK BILA NAIK KERETA ELEKTRIK
Walaupun kenderaan elektrik semakin popular untuk pemandu di seluruh dunia, ramai yang menyedari bahawa ia boleh menyebabkan pemandu dan penumpang lebih mabuk kereta berbanding kereta petrol konvensional.
Jika anda mendapati diri menjadi mabuk serta mual semasa menaiki atau memandu kereta elektrik, jangan risau kerana ia adalah fenomena biasa yang berlaku pada kebanyakan pengguna baru kereta elektrik
Menurut beberapa kajian, terdapat sebab yang sangat saintifik mengapa seseorang pemandu atau penumpang mungkin mengalami mabuk (motion sickness) dalam kenderaan elektrik.
Walaupun EV semakin popular, pengalaman kebanyakan orang dengan kereta adalah berdasarkan kereta dengan enjin pembakaran dalam. Jika anda telah belajar cara memandu dalam kereta petrol konvensional, anda mungkin telah menyesuaikan diri dengan beberapa “petunjuk khusus” berkenaan dengan kereta petrol.
Menurut kajian 2020 yang diterbitkan dalam Applied Ergonomics, kekurangan bunyi enjin tradisional boleh menjadi faktor utama yang mempengaruhi kepada fenomena mabuk kenderaan. Bagi pengguna kereta petrol, mereka boleh menjangkakan pergerakan kenderaan yang akan datang dan lebih bersedia bagi mengurangkan penyakit akibat gerakan provokatif mengikut dapatan kajian 2020 itu.
Sebagai contoh, apabila pemandu menekan pedal minyak dan pemandu mendengar putaran enjin serta deruman ekzos, otak pemandu akan menyediakan anda untuk peningkatan kelajuan. Tapi bagi kenderaan elektrik, pemandu hanya mendenga dengungan motor pada kekuaratan rendah atau bahkan tiada bunyi langsung, menjadikannya lebih sukar untuk otak mereka menjangka pergerakan.
“Sekiranya kita terbiasa mengembara dalam kenderaan bukan EV, kita sudah biasa memahami pergerakan kereta berdasarkan isyarat seperti putaran enjin, getaran enjin, tork, kotak gear dan sebagainya,” ujar William Emond, pelajar PhD di Université de Technologie de Belfort-Montbéliard di Perancis, menjelaskan kepada The Guardian.
“Namun, apabila melakukan perjalanan dengan EV buat kali pertama, ia adalah satu persekitaran gerakan baharu untuk otak, yang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, otak dan badan”
Begitu juga dengan proses brek regeneratif yang dilengkapkan pada EV, boleh juga menjadi faktor penyumbang kepada masalah loya dan mabuk pada pemandu.
Untuk rekod brek regeneratif ialah sistem di mana tenaga kinetik kenderaan akan ditukar menjadi tenaga elektrik secara automatik melalui tindakan brek, dan disalurkan semula ke dalam bateri. Bagi kereta biasa, tenaga kinetik akan terbazir sebagai tenaga haba pada cakera brek
Brek regeneratif boleh menyebabkan mabuk untuk pemandu EV, terutamanya bagi mereka yang menetapkan brek regeneratif pada tahap maksimum. Masalah ini juga berlaku pada mereka yang menggunakan mod satu pedal, kerana tindakan mengangkat pedal minyak akan menyebabkan kereta menjadi perlahan secara mendadak, sedangkan pada kereta biasa otak akan bersedia untuk membrek apabila pedal brek ditekan
“Pengetahuan yang lebih baik mengenai pergerakan kenderaan membolehkan kita menjangkakan arah pergerakan kereta elektrik, bagi mengurangkan masalah mabuk kenderaan pada kereta elektrik” jelas Emond kepada The Guardian.
“Namun, apabila daya gerakan seperti yang dianggarkan atau dijangkakan oleh otak berbeza daripada apa yang sebenarnya dialami, maka otak mentafsirkan ‘ketakpadanan saraf’ ini sebagai situasi konflik yang sukar ditafsirkan
Jika konflik ini berterusan dari masa ke masa, ia mungkin melepasi satu tahap untuk mencetuskan tindak balas semulajadi badan seperti gejala mabuk kenderaan pada pemandu dan juga penumpang. Bagi sesetengah kereta elektrik mewah, ia dilengkapkan dengan ciri “creep” atau merayap untuk digunakan semasa kesesakan jalan raya
Ciri ini membenarkan kereta elektrik bergerak secara perlahan-lahan sebaik sahaja pedal brek dilepaskan untuk bergerak dalam kesesakan jalan raya. Ciri ini meniru pergerakan kereta berenjin, dan tidak memerlukan pemandu menekan pedal minyak dan menekan pedal brek dengan cepat sehingga menjejaskan kestabilan kepala yang akhirnya menyebabkan masalah mabuk kenderaan

