Buletin

LANJUTKAN TEMPOH NAIK TARAF PUSAT 3S/4S, PERTIMBANGKAN PINJAMAN KEPADA YANG LAYAK – PEKEMA

Nampaknya, isu pengedar Proton terus hangat diperkatakan. Petang tadi, saya sempat menghadiri sesi sidang media bersama pihak Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) di Cyberjaya.

Turut hadir di majlis tersebut ialah beberapa orang wakil daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa.

PUSAT SERVIS PROTON BUKA 7 HARI SEMINGGU

Dalam sidang media tersebut, Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman ada menggaris dua isu utama yang ingin dinyatakannya.

Lanjutkan tempoh sehingga Disember 2020

Pertamanya, PEKEMA ingin meminta kelonggaran daripada PROTON agar melanjutkan tempoh naik taraf kepada 3S atau 4S untuk ahli-ahlinya yang kini mengendalikan pusat 1S PROTON.

Menurut Zainuddin, PROTON menggesa pengedar 1S supaya menyelesaikan urusan menaik taraf premis mereka kepada 3S/4S sebelum Oktober 2018.

Jika gagal berbuat demikian, mereka tidak dibenarkan untuk menjual model-model baharu PROTON, misalnya Boyue yang dijangka dilancarkan pada suku ketiga atau keempat tahun ini.

“Tarikh akhir ini sebenarnya bercanggah. Arahan secara tak rasmi ialah Oktober depan, tetapi kenyataan PROTON yang telah dikeluarkan sebelum ini ialah tahun 2020. Perlu jelaskan sebaik-baiknya kepada semua. Kami juga mohon walaupun masih dengan pusat 1S, mereka boleh jual model-model baharu PROTON,” kata Zainuddin.

Pinjaman daripada tabung PEKEMA berjumlah RM1.2 BILION

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa PEKEMA sebenarnya mempunyai tabung atau dana automotif bumiputera. Tabung ini merupakan hasil daripada kutipan AP.

Sejak tahun 2010, semua AP terbuka dikenakan bayaran sebanyak RM10,000. Sehingga hari ini, kutipan tersebut sudah mencecah RM3 bilion.

Sebanyak 20 peratus untuk kegunaan Malaysian Automotive Institute (MAI), 40 peratus untuk ahli-ahli PEKEMA membesarkan perniagaan dan baki 40 peratus lagi untuk golongan bumiputera yang ingin menceburkan diri dalam dunia automotif.

“Dengan 40 peratus, PEKEMA mempunyai dana berjumlah RM1.2 bilion. Jadi kita minta kerajaan benarkan dana ini digunakan dalam bentuk soft loan dengan kadar faedah kurang 4 peratus bagi tujuan menaik taraf pusat 3S/4S,” katanya lagi.

BACA: PENGEDAR BUMIPUTERA PROTON TERTEKAN? INI MAKLUM BALAS RASMI DARIPADA PROTON

Zainuddin turut ditanya apakah plan B jika tuntutan mereka ini tidak berjaya.

“Kami akan terus merayu kepada kerajaan kerana kami nampak masa depan PROTON dengan Geely. Kami yakin pengedar PROTON boleh berjaya di bawah Geely. Track record Geely pun memang bagus, tengok sahaja Volvo yang sudah mencatat keuntungan memberangsangkan dalam masa yang singkat,” jelasnya. 

Untuk makluman, terdapat 25 syarikat yang merupakan ahli PEKEMA dengan 11 daripadanya memiliki pusat 1S PROTON. Sementara bakinya menjalankan perniagaan alat ganti dan penyelenggaraan kereta.

Bagi menyuarakan kedua-dua tuntutan dan menyelesaikan kemelut ini, PEKEMA serta sejumlah pengedar PROTON dijangka bertemu dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada jam 3.00 petang esok.

Mereka juga dijadual berjumpa dengan Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar pada minggu hadapan.

Google ads
Back to top button