Buletin

LELAKI TERTINGGAL ISTERI 80 KM SEMASA MUDIK AIDILFITRI

Seorang lelaki tidak sengaja meninggalkan isterinya di pertengahan jalan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Jawa Timur sempena Aidilfitri.

Kisah Arif Romadon, 37, dari Desa Banaran, Bandar Kediri, Jawa Timur itu turut menjadi bualan warganet apabila dikatakan menyedari ketiadaan isterinya selepas bergerak 80 kilometer iaitu di Brebes, Jawa Tengah.

Kompas melaporkan, Arif memulakan perjalanan pulang dengan menunggang motosikal Honda CB150R dari Bogor, Jawa Barat ke Kediri, Jawa Timur pada Ahad lalu dan membawa isteri Siti Aminah, 40, dan anak perempuan, Eka Krissna, 8.

Arif berkata, dia secara tidak sengaja meninggalkan isterinya apabila berhenti seketika selepas tersalah pilih laluan ketika berada di Jalan Lingkaran Utara Brebes.

“Sepatutnya dia meneruskan perjalanan terus tetapi tidak sengaja membelok ke kiri. Kalau jalan lurus ke bandar, kalau belok kiri melalui jalan kampung. Itu jalan alternatif,” kata Arif.

Menurutnya, selepas memutuskan untuk mengikut jalan pilihannya, dia segera meneruskan perjalanan tanpa sedar yang isterinya turun daripada motosikal.

Katanya, dia hanya sedar isterinya ‘hilang’ selepas anaknya, Krissna bertanya mengenai ibunya.

“Anak saya bertanya di mana ibunya. Kemudian saya menoleh ke belakang dan mendapati isteri saya tiada, lalu saya memberhentikan motosikal di tepi jalan, berfikir untuk patah balik mencari isteri,” katanya.

Ketika itu Arif sudah menempuh kira-kira 80 km dan melalui dua pekan di bandar Tegal.

Arif bernasib baik apabila pihak polis menghubunginya memaklumkan isterinya berada di pos keselamatan di Brebes dan dia dibenar mengambil isterinya di situ.

“Rupanya isteri turun kerana menyangka saya berhenti untuk mengisi minyak di stesen minyak berhampiran,” katanya. – Harian Metro

Google ads
Back to top button