Motosikal

QJMOTOR BANGUNKAN PESAING NINJA ZX-6R DENGAN SRK 650 R – EMPAT SILINDER, 117HP

Meskipun sedang berdepan perang tarif dengan Amerika Syarikat namun itu bukan halangan untuk QJMotor membangunkan model baharu bagi pasaran global. 

Terbaru, pengeluar motosikal terbesar China itu bakal memulakan produksi bagi model supersport terbaru berdasarkan dokumen kelulusan jenis yang telah difailkan di China. 

Berdasarkan dokumen tersebut yang turut dilampirkan dengan gambar, model terbaru itu dinamakan SRK 650 R. Ini bermakna keluarga sportsbike QJMotor akan terus berkembang yang ketika ini sudah pun membariskan SRK 600 RS, SRK 600 RC, SRK 800 RR, SRK 921 RR dan SU 9. 

Difahamkan, unit empat silinder 650cc itu dibangunkan dari enjin empat silinder 778cc yang menggerakan SRK 800 RR yang sedang beraksi di WorldSSP (Kejuaraan Dunia SuperSport).

*dokumen kelulusan jenis memaparkan enjin empat silinder 649cc dengan ukuran bore 67mm.

Persamaan itu boleh dilihat pada ukuran bore dengan masing-masing berukuran 67mm namun begitu, stroke telah dipendekan kepada 46mm bagi menghasilkan kapasiti enjin 649cc. 

Meskipun sesaran enjin berkurang sebanyak 17 peratus namun kuasa enjin hanya turun 3 peratus dari 121hp kepada 117hp. 

*Kawasaki Ninja ZX-6R

Ini bermakna, SRK 650 R dengan 117hp bakal memberi saingan kepada jenter Jepun 600cc antaranya Kawasaki Ninja ZX-6R (122hp). 

Pakej suspensi pula merangkumi fork jenis upside/down dari Marzocchi. Memandangkan QJMotor menjalinkan kerjasama dengan Marzocchi dan menghasilkan kelengkapan itu di China maka tidak hairanlah rata-rata model berprestasi tinggi kesemuanya dilengkapi dengan fork Marzocchi. 

Sistem brek pula dibekalkan Brembo dengan kaliper M4 berkembar di depan dan tunggal di belakang. 

Antara perincian lain yang didedahkan dalam dokumen tersebut termasuk top speed yang diletakkan pada 230km/j dan berat 200kg. ABS dan traction control didatangkan secara standard selain quickshifter dan steering damper. 

QJMotor dijangka akan melancarkan SRK 650 R ini secara rasmi lewat tahun ini. 

Google ads
Back to top button