Buletin

LEXUS TAWAR NX SPECIAL EDITION DAN IS FACELIFT – TANPA KENAIKAN HARGA

Lexus Malaysia hari ini mengumumkan kehadiran model facelift SUV kompak Lexus NX 200t Special Edition dan sedan sport Lexus IS.

Kedua-dua model itu menerima penambahbaikan tanpa sebarang kenaikan harga. Malah, harga tiga daripada empat Lexus IS lebih murah berbanding model terdahulu.

Lexus IS 200t Premium ditawarkan pada harga RM297,800 seunit, IS 200t Luxury (RM322,000) dan IS 200t F SPORT (RM366,000). Sementara IS 300h boleh anda miliki pada harga RM412,000 seunit.

Konsep reka bentuk agresif Lexus IS kini diserlahkan menerusi rekaan bampar, lampu utama dan lampu belakang yang baru. Sama seperti sebelum ini, Lexus IS ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa dalam empat varian.

Pelanggan boleh memilih enjin empat silinder turbo twin-scroll bersesaran 2.0 liter pada varian Lexus IS 200t Premium, IS 200t Luxury dan IS 200t F SPORT. Manakala varian IS 300h pula menggunakan Lexus Hybrid Drive.

Kehalusan kualiti pertukangan Takumi dapat dilihat dengan mudah di dalam kabin Lexus IS. Antara yang paling ketara untuk model tahun 2017 ialah skrin EMVN yang leih lebar iaitu 10.3 inci (sebelum ini tujuh inci).

Skrin resolusi tinggi ini mampu memaparkan imej yang lebih jelas. Ia juga mempunyai ciri split screen bagi membolehkan maklumat lain dipaparkan pada masa yang sama.

Lexus NX Special Edition pula menerima lampu utama dan lampu kabus LED. Ia juga hadir bersama pintu belakang kuasa, bumbung panoramik dan kad kunci pintar. Bagi menampilkan imej yang lebih garang, model edisi khas itu menggunakan tema hitam dengan rim aloi baharu bersaiz 18 inci, gril spindle dan cermin sisi yang semuanya berwarna hitam. Jentera ini ditawarkan pada harga RM302,813 seunit.

Semua model yang dijual oleh Lexus Malaysia hadir bersama jaminan komprehansif selama lima tahun dengan jarak perbatuan tanpa had. NX 300h dan IS 300h juga didatangkan dengan program jaminan pek bateri hibrid selama lapan tahun.

BACA: JERIJI RADIATOR LEXUS LS INI AMBIL MASA 3 TAHUN UNTUK DISIAPKAN

BACA: UMW TOYOTA PANGGIL SEMULA PRIUS DAN CT200h

GALERI

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button