Buletin

LEXUS RC 500 DILANCARKAN – RM940K, SASAR JUALAN 10 UNIT TAHUN INI

Lexus Malaysia hari ini melancarkan model serba baru Lexus LC 500 untuk pasaran tempatan. Model coupe mewah termaju itu menjadi bukti dedikasi Lexus menghasilkan kereta yang mengujakan.

“Lexus LC 500 serba baru merupakan model terkini yang menyertai barisan kenderaan Lexus di Malaysia. Dipertontonkan awal tahun ini, LC 500 nyata memukau perhatian dunia dengan rekaan serta kelengkapan teknikal yang memberikannya prestasi sebuah supercar,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy.

Di Jepun, tempahan terhadap model LC telah melepasi sasaran tahunan yang ditetapkan iaitu 600 unit dengan lonjakan sebanyak tiga kali ganda. Lexus Malaysia mensasarkan untuk menjual sekitar 10 unit LC 500 tahun ini.

Mengambil ilham dari model konsep LF-LC yang pertama kali dipamerkan pada 2012, pembangunan LC diselia rapat oleh Presiden Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda yang mencuba sendiri versi prototaipnya.

Bagi pasaran tempatan, Lexus Malaysia menawarkan LC yang dijana oleh enjin 5.0 liter V8 petrol. Mampu menghasilkan kuasa sehingga 470 PS dan tork 540Nm.

Enjin itu kemudian digandingkan dengan transmisi automatik Direct Shift 10 kelajuan dengan nisbah rapat yang baru dibangunkan dan pertama untuk kereta penumpang premium.

Sebagai model paling maju, LC 500 turut memperkenalkan teknologi baru, sebahagian daripadanya belum pernah dilihat pada mana-mana model Lexus. Ini termasuklah sistem keselamatan aktif dan alat bantu pemanduan yang membolehkan prestasi penuh kereta ini dinikmati dalam keadaan yang paling selamat.

Lexus menggunakan platform baru dikenali sebagai GA-L (Global Architecture – Luxury) yang juga menjadi asas kepada sedan LS generasi terbaru.

“Model LC dikeluarkan di kilang yang sama di mana model LFA dihasilkan dengan ramai pekerja mahir Lexus Takumi. Mereka menyumbang pengetahuan dan pengalaman yang sangat luas.

“Terutama melibatkan aspek pengendalian, komponen gentian karbon serta proses akhir menggunakan tangan. untuk memastikan kualiti sentiasa berada pada tahap tertinggi,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

Dijual pada harga RM940,000 (tidak termasuk insurans), LC 500 ditawarkan dalam 11 pilihan warna luaran dengan tiga tema warna untuk ruang kabin.

LC 500 hadir bersama jaminan lima tahun tanpa had perbatuan selama lima tahun pertama atau 100,000km (mana-mana tiba dahulu). Servis berjadual percuma turut disediakan kepada pemilik.

Aspek sokongan selepas jualan lengkap ditawarkan di tujuh pusat servis Lexus. Ia terletak di Mutiara Damansara dan Sungai Besi di Lembah Klang, Ipoh, Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Kuching.

Semua pusat servis ini memiliki peralatan diagnosis untuk model LC. Juruteknik juga dilatih secara khusus untuk mengendalikan model berkenaan.

BACA: KENAPA KERETA MODEN SEMAKIN BANYAK GEAR (LEXUS BARU INI ADA TRANSMISI 10-KELAJUAN)

GALERI

Google ads
Back to top button