
LEXUS RX 2023 DILANCARKAN DI AS. 4 PILIHAN ENJIN, LEXUS SAFETY SYSTEM 3.0+
Lexus baru sahaja melancarkan SUV popularnya, RX 2023 ke pasaran Amerika Syarikat.
Sudah memasuki generasi kelima, crossover premium itu telah menerima penambahbaikan yang sangat ketara. RX mula ditawarkan pada tahun 1998 dan mencatat kejayaan besar dengan jualan lebih 100,000 unit di AS selama lapan tahun berturut-turut.
SUV berkenaan hadir dalam enam varian iaitu Standard, Premium, Premium+, Lexury, F Sport Handling dan F Sport Performance. Bergantung kepada varian, pelanggan diberi 10 pilihan warna seperti putih, putih mutiara, kelabu, merah, hijau dan hitam.

Rekaan luaran mengekalkan spindle grill bersaiz besar dengan corak berbentuk berlian pada bahagian atasnya. Varian F Sport Performance mempunyai corak mesh berbeza yang lebih kompleks.
Dari arah sisi, profail bumbung terapung diteruskan. Manakala bahagian belakang menerima rekaan lampu LED baharu yang melintang dari kiri ke kanan.
Ditawarkan dalam empat pilihan enjin dengan tiga daripadanya ialah hibrid, jualan RX serba baharu akan bermula pada lewat tahun ini. Model RX350 menggunakan enjin 2.4 liter turbo empat silinder berkuasa 275hp dan tork 429Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotakk gear lapan kelajuan automatik.

Model RX350h dipasang dengan enjin 2.5 liter empat silinder hibrid. Dipadankan dengan kotak gear CVT, enjin itu berupaya menghasilkan kuasa sekitar 246hp dan tork 316Nm. Kuasa tersebut disalurkan ke roda menerusi sistem pacuan semua roda (AWD).
Model RX 500h F Sport Performance pula menggunakan khidmat enjin 2.4 liter turbo empat silinder hibrid yang dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. Enjin itu mampu menghasilkan kuasa 367hp dan tork 550Nm.
Ruang kabin SUV itu dipasang dengan skrin sebesar 14 inci bersama kluster instrumen digital. Naiktaraf lain termasuklah bumbung kaca panoramikdan head-up display.

Pelanggan boleh memilih enam pilihan warna upholsteri seperti hitam, merah, macadamia, birch, palomino dan peppercorn.
RX 2023 dibina di atas platform GA-K yang menjadikannya 90kg lebih ringan berbanding model terdahulu. Tapak rodanya bertambah sebanyak 2.36 inci, tetapi overhang belakang dipendekkan 2.36 inci. Ini bermakna panjang keseluruhan tidak berubah.
Tapak roda yang panjang memberikan ruang lebih luas kepada penumpang.
Dari segi keselamatan, RX 2023 dilengkapi Lexus Safety System+ 3.0. Ia merangkumi All-Speed Dynamic Radar Cruise Control dengan fungsi Curve Speed Management. Selain Pre-Collision System dengan Pedestrian Detection, Intersection Support dan Motorcycle Detection.
- BACA: LEXUS RX 300 F SPORT, SUV PREMIUM DARI KAYANGAN.
- BACA: TOYOTA, LEXUS UNGGULI CARTA KOS PEMILIKAN TERENDAH UNTUK TEMPOH LIMA TAHUN
- BACA: MASALAH PAM BAHAN API, UMW TOYOTA MOTOR RECALL 10,350 UNIT KERETA TOYOTA DAN LEXUS
- BACA: ENJIN 8AR-FTS TURBO LEXUS, KENAPA LEXUS LAMBAT KELUARKAN ENJIN TURBO
GALERI










