Pandu Uji

LEXUS RX 300 F SPORT, SUV PREMIUM DARI KAYANGAN.

Omotenashi merupakan satu perkataan Jepun yang menggambarkan semangat untuk menyediakan dan mengalu-alukan kedatangan tetamu dalam urusan perniagaan terutama yang melibatkan servis. Ia boleh digambarkan dengan bagaimana kita menyambut dan memberikan layanan kelas pertama kepada pelanggan

Salah satu syarikat yang mempelopori konsep Omotenashi ialah Lexus. Penulis pernah mencabar seorang rakan baik untuk datang ke pusat jualan Lexus untuk memandu uji kereta dan melihat bagaimana layanan terbaik Lexus terhadap pelanggan yang datang ke pusat jualan. Bukan itu sahaja konsep Omotenashi juga diserap dalam rekaan kenderaan Lexus

Salah satu contoh terbaik ialah Lexus RX 300 F Sport yang telah diuji oleh pasukan Mekanika dan penulis pada minggu lepas. Pada harga RM 439,888 agak sukar untuk menjustifikasikan sebab mengapa kita perlu memilih SUV Lexus berbanding dengan jenama Continental yang dijual pada separuh harga RX300

1. Rekaan – Lexus RX sebenarnya berada dari pasaran semenjak tahun 1998 lagi. Penulis masih ingat bagaimana gahnya kalau dapat melihat sebuah Lexus dipandu menyulusuri jalan. Rekaan lama RX yang lama yang bulat-bulat comel seperti Doraemon mula berubah menjadi serius dengan tema garisan tajam

Rekaan lampu depan, lampu DRL LED, rekaan jeriji depan yang hitam berkilat dan besar serta rekaan sisi pintu yang tajam menjadikan RX300 nampak serius. Ditambah pula dengan rekaan rim yang berwarna gelap, kemasan krom pada bahagian ekzos serta rekaan lampu LED yang tajam menjadikan RX300 ini nampak gah, angkuh dan garang

2. Platform – RX300 ini dibangunkan semenjak tahun 2015 jadi ia tidak menggunakan platform TNGA tapi menggunakan platform generasi lama yang dikenali dengan nama Toyota K Platform. Antara model yang menggunakan K-Platform ialah Toyota Camry XV30, suv, MPV dan sedan lain

RX300 menggunakan topang McPherson pada roda depan, rekaan Double Wishbone yang kompleks pada bahagian belakang, cakera brek dengan liang sejukan udara pada semua roda, dan bagi varian F Sport ia menggunakan penyerap hentak prestasi tinggi dan Adaptive Variable Suspension.

3. Enjin – bagi pasaran global, terdapat 3 pilihan enjin iaiti 4 silinder 2000cc turbo, 3500cc V6 dan 3500cc V6 dengan teknologi hibrid. Namun pasaran Malaysia hanya menerima enjin 2000cc 8AR-FTS dengan teknologi VVTi-W yang berupaya menggunakan kitaran enjin Otto dan juga Atkinson. Ia menghasilkan 235 kuasa kuda dan 350Nm tork dengan bantuan turbo skrol berkembar.

RX300 generasi ke empat ini merupakan varian pertama yang digandingkan dengan turbo. Kesemua kuasa dihantar pada semua tayar menerusi sistem AWD dengan bantuan transmisi 6 kelajuan automatik Super ECT. Pemandu boleh memilih untuk menukar gear dengan menggunakan paddle shift ataupun menggunakan tombol gear biasa.

4. Ruang Dalaman – besar bagai banglo, ada banyak ruang kaki, ruang bahu dan ruang kargo yang besar. Bagi menyerlahkan lagi rasa premium varian RX300 F Sport dibalut dengan kemasan kusyen kulit, kemasan pintu kulit serta papan pemuka yang dibalut dengan kulit. Kemasan krom akan diselit dengan hiasan lampu LED menjadikannya premium habis

5. Ergonomik- kusyen barisan depan direka dengan gaya semu bucket, nampak sangat sporti tapi sebaik sahaja anda duduk anda tahu ia direka dengan sangat bagus. Bahagian penyandar dibuat lembut dengan menyokong tulang belakang dari leher ke pinggang dengan kemas. Penulis rasa nak cabut saja kusyen Lexus ini untuk dipasang pada Axia.

6. Pengalaman pemanduan – sebaik sahaja duduk dalam RX300, perkara pertama yang oenulis rasakan ialah ketinggiannya menyamai Hilux milik penulis. Posisi ideal untuk pemanduan sangat senang dicapai apabila stering dan kusyen diubah dengan mekanisme bermotor elektrik. Terdapat 3 tetapan memori bagi mengunci kedudukan yang ideal.

Sebaik sahaja enjin hidup, mata penulis perlu memastikan meter LCD yang memaparkan bacaan RPM telah berada pada kedudukan melahu. Enjin terlampau senyap dengan tiada langsung gegaran yang terhasil. Kalau letak gelas berisi air atas papan pemuka, penulis rasa permukaan air tidak akan bergerak langsung

Sebaik sahaja pedal minyak ditekan, operasi enjin 235 kuasa kuda dan 350Nm tork dihantar dengan sangat lancar kepada transmisi 6 kelajuan automatik, tapi pada harga sebegini penulis rasakan 8 kelajuan automatik patut ditawarkan. Namun prestasi atas jalanraya unit 6 kelajuan automatik ini memang cemerlang, anda tak perlu menggunakan paddle shift kecuali untuk menggunakan engine braking.

Tapi jika ia mengesan anda menurunkan gear secara semborono, bunyi amaran akan diberikan. Dinamik pengendalian RX300 juga boleh amat tepat bagi sebuah SUV besar terutama sistem AWD memberikan cengkaman cemerlang dalam hujan di selekoh berbukit. Jika dibandingkan dalam SUV besar yang lain, RX300 F Sport ini memang sedap diajak bermain di selekoh

Respon stering dan tindakbalas tayar belakang adalah cepat, tapi tidak meliar seperti sebuah kereta sport. Anda boleh bertenang minum kopi ketika memandu di laluan berselekoh. Brek juga bertindak dengan cemerlang dengan memberikan kuasa brek yang pantas walaupun anda rasa ia tidak menghantar kuasa secara mengejut. Kestabilan pada jalan lurus menyebabkan kita berani menghenjut RX300 melebihi laju 200km/j

Dari segi keselesaan, absorber Adaptive Variable Suspension berupaya menyerap kecacatan permukaan jalan dengan sangat baik. Tiada gegaran ataupun bunyi tayar yang sampai dalam kabin walaupun ia menggunakan tayar Bridgestone Dueller bersaiz 235/55 R20. Hanya ketika melalui bonggol jalan laju barulah RX300 terasa terhentak memberika idea bahawa mungkin spring dibuat keras dan sedikit pendek.

Sebagai seorang konvensionalist, susun atur butang pada papan pemuka RX300 memang mudah digunakan terutama unit penyaman udara. Tak perlu sibuk ke skrin sesentuh untuk mengubah tetapan penyaman udara. Jika anda memandu jauh dan mulai berpeluh, terdapat kipas pada bahagian penyandar kusyen pemandu dan penumpang depan menyejukkan bahagian belakang dari berpeluh.

Ruang di bahagian belakang pula diberikan unit pemanas di bahagian kusyen, namun penulis fikir kipas lebih sesuai dengan keadaan cuaca Malaysia. Anda boleh menyandarkan bahagian belakang ke sudut yang sesuai untuk tidur dengan menggunakan butang pada bahagian sisi. Bahagian tengah lebih sesuai untuk diduduki oleh kanak-kanak atau jika tidak digunakan boleh tukar ruang tersebut untuk dijadikan perehat tangan

Ruang kargo di bahagian belakang boleh dibuka dengan menggunakan suis dari tempat pemandu, menggunakan butang di pintu belakang ataupun dengan alat kawalan jauh. Ia memberikan ruang sebesar 521 liter, terbaik di dalam kelasnya. Jika anda perlukan ruang yang lebih, gunakan butang untuk melipat kusyen barisan kedua ke depan.

Paparan meter berwarna putih diilhamkan dari model LFA amat senang dibaca tapi untuk fokus pada pemanduan unit Head Up Display turut disediakan. Urusan memarkir rasaksa RX300 ini juga senang dengan bantuan kamera 360 darjah serta sensor yang dipasang di sekeliling kereta.

7. Aspek keselamatan – RX300 dipadankan dengan pakej Lexus Safety System+ yang merangkumi Pre-Collision System, Dynamic Cruise Control dengan Stop&Go, Lane Tracing Assist, Lane Departure Alert, Active Cornering Assist, Lampu Depan dengan teknologi Blade Scan, Kamera 360 darjah, Sistem Amaran Titik Buta dan Amaran Trafik Lintasan Belakang.

Lexus RX300 F Sport berbaloi dengan harga?

Tidak – ini mungkin jawapan bagi mereka yang tidak pernah memandu atau menaiki mereka kerana pada mereka pada harga tersebut mungkin ada banyak lagi pilihan dan tawaran menarik dari jenama lain terutama sekali bagi model yang dipasang secara CKD di Malaysia

Ya – bagi penulis kerana Lexus menawarkan pengalaman pemilikan, pemanduan dan kualiti yang tiada pada model lain. Tambahan pula Lexus RX300 merupakan model import sepenuhnya dari Jepun. Semangat Omotenashi ada ketika anda mula melangkah masuk ke pusat pameran Lexus dan memandu RX300 F Sport

Cuma harga jualannya pada RM 439,888 meletakkan RX 300 ini pada aras kayangan, sukar untuk dicapai oleh orang kebanyakan. Tapi itulah Lexus, divisi mewah dari Toyota yang memang mensasarkan pelanggan poket tebal. Sementara itu, penulis dan pembaca boleh menikmati biskut Lexus bersama-sama.

Google ads
Back to top button