Buletin

MASALAH PAM BAHAN API, UMW TOYOTA MOTOR RECALL 10,350 UNIT KERETA TOYOTA DAN LEXUS

Pengedar rasmi kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia, UMW Toyota Motor mengadakan kempen panggilan semula untuk menggantikan pam bahan api pada kereta keluarannya. 

Berdasarkan kepada maklumat yang diterima daripada Toyota Motor Corporation (TMC), recall tersebut melibatkan  9,500 unit model-model Toyota seperti Alphard, Vellfire, Camry, Corolla, Fortuner, Innova, C-HR dan  Harrier. 

Manakala 850 unit lagi melibatkan model-model Lexus iaitu ES250, GS200t, GS350, IS200t, LC500, LS500, LX570, NX300, RX300 dan RX350. Semua model tersebut dikilangkan dari Julai 2017 sehingga Julai 2019 dan diedar oleh UMW Toyota Motor. 

Model yang tidak disenaraikan tidak terlibat dalam kempen ini.  

Toyota menyatakan bahawa pam bahan api yang rosak itu mungkin tidak boleh berfungsi. Jika keadaan itu berlaku, lampu amaran dan mesej mungkin dipaparkan pada panel instrumen. Kuasa enjin juga mungkin menjadi tidak lancar.

UMW Toyota Motor akan memaklumkan semua pemilik yang terjejas supaya menggantikan unit pam bahan api itu tanpa dikenakan sebarang bayaran. 

Maklumat lanjut, sila hubungi mana-mana pusat servis sah Toyota atau hubungi talian 1800-8-TOYOTA (869682). 

Google ads
Back to top button