INI DIA “1000 CORNER” VERSI MALAYSIA!
Jangan terkeliru dengan Lingkaran Mae Hong Son dengan 1864 selekoh di Thailand, Jalan Seribu Selekoh di Malaysia ini (bukan nama rasmi) berada di Pahang menawarkan pengalaman yang unik dan pemandangan yang menarik di sepanjang perjalanan selain selekoh-selekoh yang bakal mengujakan para pelumba.
Sama seperti Mae Hong Son, jalan lingkaran ini juga mempunyai jarak sekitar 600 kilometer dan meliputi banjaran tanah-tanah tinggi di Pahang termasuklah Cameron Highlands, Bukit Fraser, Bukit Tinggi dan Genting Highlands.
Masa yang perlu diambil ialah sekitar 1 hari (sama seperti yang diambil oleh Chris) tapi itu cuma masa yang diambil untuk perjalanan dan tidak termasuk segala aktiviti dan sesi menikmati pemandangan indah di sepanjang perjalanan. Jadi kalau betul-betul ingin menikmatinya, adalah dicadangkan agar ia dilakukan dalam masa beberapa hari.
Disebabkan laluan ini berbentuk lingkaran, anda boleh memilih sama ada ingin mengikut putaran jam ataupun sebaliknya. Begitu juga dengan titik permulaan, pilihan lokasi permulaan yang bersesuaian dengan anda. Chris memilih untuk bermula dan mengakhiri laluan seribu selekoh ini di Kuala Lumpur.
Laluan utama mengikut arah putaran jam: Kuala Lumpur – Cameron Highlands (melalui Tapah/Simpang Pulai) – Bukit Fraser – Bukit Tinggi – Genting Highlands – Kuala Lumpur.
Laluan utama melawan arah putaran jam: Kuala Lumpur – Genting Highlands – Bukit Tinggi – Bukit Fraser – Cameron Highlands – (melalui Tapah/Simpang Pulai) – Kuala Lumpur.
Laluan alternatif: Kuala Lumpur – Bukit Tinggi – Genting Highlands – Bukit Fraser (melalui Kuala Kubu Baru) – Cameron Highlands – Kuala Lumpur. (Anda juga boleh memilih untuk melawan arah putaran jam)
Secara amnya keseluruhan jalan berada dalam keadaan baik kecuali laluan utama menghala ke Bukit Fraser dari Raub yang memang terkenal dengan beralun-alun dari dulu. Jadi jika anda inginkan perjalanan yang lebih lancar, anda boleh saja memilih laluan alternatif yang dicadangkan oleh Chris di atas.
Keselamatan memang sangat penting sewaktu menunggang jadi tungganglah dengan lebih berhati-hati khususnya jika ia dilakukan sewaktu musim hujan (September-Disember) di mana keadaan jalan adalah agak licin.
Chris Berjaya melengkapkan lingkaran ini dalam masa lebih kurang 12 jam tapi ia memang sangat memenatkan. Tapi pengalaman yang diperolehi memang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.
Kesemua tempat yang dilawati sepanjang perjalanan adalah sangat menarik dan mempunyai suhu yang nyaman. Terdapat banyak hotel yang boleh ditempah terlebih dahulu menggunakan pelbagai laman web atas talian.
Adalah menjadi harapan Chris agar satu hari nanti pihak JKR akan membuat kiraan selekoh lingkaran ini secara rasmi dan mempromosikannya sebagai tarikan pelancongan. Kenapa tidak? Ia meliputi hampir kesemua kawasan pelancongan tanah tinggi di Semenanjung dan memang sangat sesuai untuk aktiviti pelancongan bermotor.
Kalau korang nak baca lebih lanjut tulisan Rides Chris dan tempat-tempat menarik sepanjang Linkaran 1000 Selekoh ini korang boleh klik pautan di bawah.
Kredit kepada Rider Chris