Motosikal

BENELLI TRK 502 – REVIU DARI RIDER CHRIS

Tidak dapat dinafikan yang sebelum membeli sesebuah motosikal, kita biasanya akan mendapatkan ulasan ataupun reviu dari pelbagai sumber. Baik teman-teman rapat, mahupun daripada laman-laman yang berkaitan. Tapi untuk motosikal seperti Benelli TRK 502 yang diulas oleh Rider Chris ini memang tidak banyak ulasan yang diberikan oleh laman-laman permotoran. Kalau ada pun biasanya reviu yang diberi agak negatif berbanding jenama mainstream lain.

Bagi yang tidak pernah mendengar nama Rider Chris, beliau merupakan seorang peminat motosikal yang telah mengembara merentasi 6 negara secara solo dengan menunggang skuter SYM.

Chris memilih untuk mendapatkan Benelli TRK 502 walaupun selepas membaca pelbagai ulasan negatif mengenai model ini. Kenapa? Kerana pengedar Benelli di Malaysia ialah syarikat Mforce yang telah memberikan khidmat selepas jualan terbaik untuk skuter SYM beliau. Apa yang ditulis di sini merupakan pengalaman Chris sendiri sebagai pemilik dan merupakan ulasan jujur kepada model touring entry-level ini.

Kini Chris telahpun mencatatkan lebih 5,000 kilometer perbatuan untuk motosikal ini dan cukup berpuas hati dengannya. Memang diakui yang pembuatan motosikal ini tidak sekemas jenama maintstream lain contohnya pada bahagian cat kerangka dan kesan kimpalan. Malah pelekat jenama Benelli sendiri kelihatan murah tapi ia adalah sebuah motosikal yang selesa ditunggang. Enjin 500 cc memang kurang berkuasa jika dibandingkan dengan Kawasaki Versys 650 tetapi ia sudah lebih dari mencukupi buat Chris. Setakat nak pecut dari 0-100 km/j bawah 7 saat tu memang selamba je.

BACA: KEMBARA SOLO DENGAN SKUTER SYM – LELAKI INI CUMA BELANJA RM2000 JELAJAH 6 NEGARA

Okey Chris memberikan 5 bintang untuk kualiti tunggangan kerana ia cukup selesa dan memberikan posisi yang terbaik untuk beliau. Cermin hadapan juga membantu melindungi Chris dari angin sewaktu menunggang laju.

Motosikal ini mempunyai brek yang dilengkapi dengan sistem ABS. Walaupun brek belakang terasa sedikit lembut tetapi ia berfungsi dengan cukup baik.

Chris turut berpuas hati dengan enjin ini yang berfungsi dengan baik mengikut kehendak beliau. Ia tidak mempunyai tork yang tinggi tetapi lebih daripadaq mencukupi untuk keperluan penunggang. Malah perlu diingat yang ia merupakan enjin 2-selinder 500cc. Chris telah berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Thailand sebanyak empat kali selain menyertai Thousand Corners of Malaysia tanpa sebarang masalah.

Kelajuan maksima yang berjaya dicatat Chrislah 175 km/j dengan beg kembara terpasang sepenuhnya.

Satu-satunya kekurangan motosikal ini menurut Chris ialah pada kualiti pembuatan. Tidaklah begitu serius kerana Chris masih memberikan 4 bintang tetapi tentu sekali ia tidak setanding dengan jenama lain dari Jepun, Itali mahupun Jerman. Kekurangan inipun hanya disedari jika diteliti dari dekat. Bonusnya pula ialah motosikal ini kelihatan seperti adik kecil kepada BMW GS1200 ataupun Ducati Multistrada.

Aspek ketahanan belum teruji sepenuhnya kerana Chris baru mencatat 5,000 kilometer perbatuan tetapi kami sendiri percaya jika diselenggara dengan baik, motosikal keluaran apa sekalipun akan mampu bertahan.

Kos penyelenggaraan ialah berdasarkan jenis pelincir anda pilih dan kos penapis minyak ialah sekitar RM30-35. TRK 502 ini perlu diselenggara setiap 6,000 kilometer. Setangki penuh akan membawa Chris ke 300-350 kilometer tetapi ia juga berdasarkan kelajuan dan keadaan jalan.

Benelli TRK 502 ini juga mempunyai aksesori paling lengkap dalam kelasnya. Ia dilengkapi dengan ABS, tayar-tayar Pirelli Angel ST, bar pelindung kerangka, port USB, pelindung tangan dan macam-macam lagi.

Terdapat tiga varian TRK 502 ditawarkan dan ia dibezakan oleh kotak bagasi belakang. Model paling asas tanpa aksesori tersebut ditawarkan pada harga RM30,621 manakala model aksesori penuh ialah pada RM32,423. Cukup bernilai untuk wang berbanding jenama lain yang menawarkannya sebagai aksesori tambahan.

Secara ringkasnya motosikal ini tidaklah terlalu berat dan berkuasa untuk mereka yang baru berjinak dengan model-model touring. Lonjakan kuasanya juga tidak begitu ketara menjadikan ia lebih selamat untuk penunggang baru. Memang sesuai digunakan sebelum berhijrah ke CC yang lebih besar.

Masalah teknikal memang tidak dapat dielakkan bagi mana-mana motosikal walaupun keluaran Itali. Chris turut mengakuinya tetapi ia diatasi dengan cekap dan cepat oleh Mforce. Model seterusnya mungkin akan ditambahbaik tanpa sebarang isu dan jika ada pun, Mforce lebih dari bersedia untuk menghulurkan bantuan.

Chris memberikan 4 bintang secara keseluruhan kepada Benelli TRK 502 ini dan cukup gembira memilikinya. Tiada masalah memiliki motosikal seperti ini asalkan anda menyelenggaranya mengikut jadual dan menunggangnya dengan cermat.

Jika ada yang ingin mengenali Chris dengan lebih dekat sila kunjungi laman https://www.riderchris.com

Kredit kepada Rider Christ

Google ads
Back to top button