600 UNIT CHERY OMODA 5 TERKESAN, CHERY MALAYSIA AMBIL LANGKAH PROAKTIF
Chery baru-baru ini telah mengumumkan kira-kira 600 unit terkesan oleh masalah komponen gandar rasuk belakang di Malaysia. Namun, kini langkah-langkah telah diambil untuk menangani situasi ini dengan cermat.
Seperti dinyatakan sebelum ini, Chery Auto Malaysia komited dalam menyediakan penyelesaian pengangkutan yang selamat dan boleh dipercayai untuk pelanggan di Malaysia.
Pihak Chery akan menghubungi semua pelanggan yang terjejas untuk menjalankan pemeriksaan diperlukan serta menukar gandar belakang kenderaan mereka.
Menurutnya, proses penggantian dijangka akan mengambil masa kira-kira 2 jam sahaja.
“Isu yang dilaporkan oleh pelanggan di laman sosial Facebook baru-baru ini sudah ditentukan sebagai kes terpencil,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
“Kami berjaya menangani hal ini dengan menggantikan komponen gandar rasuk belakang dan melaksanakan ujian kawalan kualiti yang komprehensif terhadap kenderaan tersebut. Kami boleh mengesahkan bahawa hal ini sudah berjaya diselesaikan.”
Bagi pelanggan yang tidak terjejas oleh keadaan ini, mereka juga disarankan untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan mereka.
“Kami kini dapat mengenalpasti sebanyak 600 OMODA 5 yang mungkin berpotensi terjejas akibat daripada kerja-kerja menaiktaraf di fasiliti kemudahan vendor tersebut,” katanya.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, Chery Auto Malaysia akan menghubungi pelanggan berdasarkan Nombor Pengenalan Kenderaan (VIN) yang terjejas untuk pemeriksaan terperinci bagi menyelesaikan isu komponen teknikal ini.”
Untuk rekod, sejak pelancaran model Omoda 5, lebih dari 7,000 unit telah dijual di pasaran Malaysia.
Chery menekankan bahawa kenderaan-kenderaan Chery masih selamat untuk digunakan, dan semua agensi kerajaan telah dimaklumkan tentang isu ini.
Dengan tindakan yang diambil, Chery berharap dapat menyelesaikan perkara ini dengan cepat dan memastikan kepuasan pelanggan tetap terjamin.
- BACA: CHERY BAKAL BUKA KILANG CKD DI SHAH ALAM
- BACA: ISU KIMPALAN GANDAR BELAKANG OMODA 5, CHERY MALAYSIA KELUAR KENYATAAN RASMI
- BACA: CHERY TIGGO 7 PRO PHEV DIDEDAHKAN DI BEIJING AUTO SHOW 2024 – JANA 308HP, JARAK GERAK SEHINGGA 1,200KM
- BACA: BEIJING AUTO SHOW 2024: CHERY TIGGO 9 PHEV DIPERKENALKAN – 2.0T PLUG-IN HYBRID, DILANCARKAN SUKU KEEMPAT 2024