Buletin

LOTUS DEDAH SIRI EMEYA 600, HARGA BERMULA RM459,000

Lotus Cars Malaysia, di bawah Kumpulan Karrus Automotive, memperluaskan barisan model hyper-GT elektrik Emeya dengan penawaran baharu yang kini bermula pada harga RM459,000.

Langkah ini selaras dengan strategi global Lotus untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan tanpa mengorbankan identiti utama jenama.

Penamaan baharu seperti Emeya 600 dan Emeya 900 kini menggambarkan kuasa output setiap varian.

Setiap model ditawarkan dengan pakej kelengkapan khusus, sama ada berorientasikan prestasi sporty atau kemewahan teknologi, bagi memudahkan proses pemilihan sambil mengekalkan peluang untuk penyesuaian mengikut cita rasa.

Seperti yang dilihat pada pengenalan model Emira Turbo SE sebelum ini, Lotus meneruskan pendekatan menggabungkan semula penamaan ikonik seperti SPORT dan GT SE dalam rangkaian terkini Eletre dan Emeya, tetapi dengan sentuhan moden.

Hasilnya, pembeli kini menikmati lebih kebebasan untuk memilih kombinasi terbaik antara prestasi, rekaan dan nilai.

Sebagai hyper-GT elektrik sepenuhnya, Emeya menawarkan gabungan pecutan luar biasa, pengendalian lincah dan keselesaan perjalanan jarak jauh. Akselerasi 0–100 km/j dicapai dalam hanya 2.78 saat, menjadikannya antara yang terpantas dalam kelasnya.

Suspensi udara adaptif dengan kawalan redaman berterusan (CDC) memastikan keseimbangan di antara keselesaan dan ketangkasan, manakala talaan casis warisan Lotus mengekalkan reputasi pemanduan dinamik.

Ruang dalaman pula menggabungkan teknologi canggih dan kemasan berkualiti tinggi seperti Jasper interior dengan fabrik prestasi lestari LotusWear.

Untuk siri Emeya 600, varian asas berharga RM459,000 hadir dengan kuasa 603hp daripada sistem dwi-motor pacuan semua roda, pek bateri 102kWh, pengecas onboard 22 kW, rim 20-inci, lampu LED matrix, sistem audio KEF Premium 15 pembesar suara, paparan HUD 29 inci, kawalan iklim 4 zon, serta suspensi udara adaptif dengan CDC.

Naik taraf kepada Emeya 600 GT SE pada harga RM519,000 menambah ciri seperti Parking Pack, rim aloi 21-inci, brek 6 piston, bumbung kaca pintar dengan bukaan tanpa sentuhan, lampu ambien boleh ubah dan panel sisi berlampu.

Sementara itu, Emeya 600 Sport SE pada harga RM599,000 menawarkan Lotus Dynamic Handling Pack, spoiler belakang aktif, sistem udara hadapan aktif, pintu soft-close, serta Comfort Seat Pack yang menampilkan kerusi hadapan dengan fungsi ventilasi dan urut.

Bagi siri Emeya 900, model Emeya 900 Sport berharga RM699,000 dipacu oleh sistem dwi-motor berkuasa 905hp dengan transmisi 2 kelajuan, dilengkapi Lotus Dynamic Handling Pack, spoiler belakang aktif, sistem udara hadapan aktif, dan kemasan dalaman bertema Quartz dengan fabrik LotusWear.

Versi tertinggi, Emeya 900 Sport Carbon, berharga RM729,000, menambah Extended Exterior Carbon Pack, Extended Interior Carbon Pack, diffuser belakang aktif, kerusi hadapan dengan fungsi urut dan ventilasi, serta pintu soft-close.

Tempahan untuk Emeya kini dibuka di pusat jualan Lotus di Glenmarie, Pavilion Damansara Heights dan Pulau Pinang. Penghantaran pertama dijangka bermula September 2025.

GALERI:

Google ads
Back to top button