
KLIMS 2026 LABUH TIRAI, CATAT LEBIH 205,440 PENGUNJUNG
Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026) melabuhkan tirainya hujung minggu lalu dengan kehadiran lebih 205,440 pengunjung sepanjang 10 hari penganjuran di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Edisi ke-11 acara anjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang diuruskan Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd itu tampil dengan tema “Beyond Mobility”, mengetengahkan hala tuju industri automotif ke arah teknologi lebih hijau, elektrifikasi serta ekosistem mobiliti pintar dan saling berhubung.
KLIMS 2026 berlangsung di tujuh dewan pameran dan menghimpunkan pelbagai jenama automotif termasuk Dongfeng, GWM, Honda, Hyundai, Jetour, Kia, Maxus, Mazda, MG Motor, Nissan, Perodua, Proton, Proton e.MAS, smart, Toyota, Wuling, XPENG dan Zeekr. Segmen motosikal pula disertai AFAZ serta Suzuki.
Selain menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung, acara itu turut mencatat minat komersial tinggi dalam kalangan peserta pameran, sekali gus menggambarkan keyakinan pengguna terhadap perkembangan semasa industri automotif.

Program interaktif seperti “Experience The Drive” dan laluan cabaran Urban Play menjadi antara tarikan utama apabila pengunjung diberi peluang merasai sendiri teknologi mobiliti terkini secara langsung.
Pertemuan kelab-kelab kereta dari seluruh negara turut memeriahkan acara menerusi pelbagai himpunan komuniti automotif.
Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, KLIMS 2026 membuktikan industri automotif Malaysia terus berkembang dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi semasa.
“Penyertaan memberangsangkan daripada pengeluar automotif dan sambutan luar biasa pengunjung menunjukkan transformasi industri ke arah elektrifikasi, inovasi dan penyelesaian mobiliti lebih pintar semakin rancak.
“KLIMS kini bukan sekadar platform mempamerkan kenderaan baharu, tetapi menjadi medan yang menghimpunkan keseluruhan ekosistem automotif bagi memperkukuhkan kerjasama serta mempercepat pembangunan teknologi mobiliti yang lebih selamat dan lestari,” katanya.

Sepanjang penganjuran, pelbagai model dan konsep baharu diperkenalkan kepada umum. Proton menampilkan e.MAS 7 Premium Plus, manakala Honda membawa masuk coupe hibrid Prelude yang dinanti-nantikan peminat tempatan.
Hyundai pula mencuri perhatian menerusi model berprestasi tinggi Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N, selain memperkenalkan MPV keluarga Stargazer. Mazda menambah model CX-60 MHEV, sementara MG Motor memperkenalkan ZS Hybrid+ serta roadster elektrik Cyberster.
Jetour turut memperkenalkan SUV plug-in hybrid T2 i-DM bersama model SUV G700, manakala Perodua mempamerkan konsep sedan elektrik C2 Concept serta pratonton QV-E G+ Edition.
Toyota pula menampilkan konsep Corolla elektrik, di samping Proton memperlihatkan teknologi FutureMotion HEV.
Antara tarikan paling mencuri perhatian ialah kereta terbang XPENG X2 serta pratonton MPV premium Voyah Dream oleh Dongfeng.

Jenama lain turut menggunakan KLIMS sebagai platform pelancaran dan pratonton model akan datang.
Zeekr mempamerkan SUV 9X dan MPV mewah 009 Grand, Kia memperkenalkan EV4, EV5, PV5 serta sedan K4, manakala GWM tampil dengan Ora 5 HEV dan Haval Raptor.
Nissan turut membawa X-Trail e-Power versi facelift, sementara Dongfeng memperlihatkan SUV elektrik 008 EV dan model plug-in hybrid M-Hero II.
KLIMS 2026 turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan seperti Ella, Anuar Zain, Lah Ahmad, FUGŌ dan Kyoto Protocol.
Acara tahun ini juga menyaksikan kerjasama pertama bersama RIUH melalui bazar kreatif yang menghimpunkan usahawan tempatan dan komuniti seni.

Pelbagai aktiviti lain turut diadakan termasuk pertunjukan drumline, persembahan tarian moden, rakaman langsung podcast automotif serta cabaran simulator perlumbaan.
Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai keseluruhan RM125,000 termasuk hadiah utama sebuah Perodua Bezza AV yang dimenangi Foo Yan Ling.
Selain itu, KLIMS Creator Award yang dianjurkan bersama GoFluence turut diperkenalkan bagi menghargai pencipta kandungan digital yang membantu mempromosikan tema “Beyond Mobility” menerusi media sosial.
Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, Richard Teo berkata, KLIMS 2026 berjaya menetapkan penanda aras baharu sebagai acara mobiliti berskala besar bertaraf antarabangsa.
“Gabungan inovasi automotif, pengalaman gaya hidup dan penglibatan komuniti menjadikan KLIMS platform yang lebih dinamik untuk pemain industri dan orang ramai,” katanya.
MAA kini bersedia meneruskan momentum tersebut bagi edisi akan datang dengan fokus terhadap inovasi, kelestarian dan pembangunan masa depan mobiliti di Malaysia serta rantau ini.







