
RASMI: DARI BARCELONA KE MALAYSIA, ROYAL ENFIELD GUERRILLA 450 DILANCARKAN – RM28,700
Tahun lalu, kami telah terbang ke Barcelona, Sepanyol bagi menunggang uji tawaran terbaru Royal Enfield yang diberi nama Guerrilla 450.
Akhirnya, selepas hampir setahun, Royal Enfield Guerrilla 450 kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan rasmi RM27,800.

Motosikal yang dilabel sebagai sebuah roadster itu merupakan langkah terbaru pengeluar motosikal dari India itu dalam memenuhi permintaan peminat yang mahukan sesuatu yang lebih moden.
Berlainan dengan Himalayan 450 yang merupakan motosikal ‘adventure’, Guerrilla 450 pula merupakan jentera ‘roadster’ dengan elemen ala scrambler sekaligus lebih sesuai untuk kegunaan dalam bandar.

Royal Enfield Guerrilla 450 merupakan model kedua yang dihidupkan dengan enjin satu silinder 452cc DOHC dengan sistem penyejuk cecair yang berupaya menjana 40hp pada 8,000rpm dan 40Nm pada 5,500rpm. Enjin tersebut – yang dinamakan sebagai ‘Sherpa’ – dipadankan bersama transmisi manual 6-kelajuan yang beroperasi bersama sistem ‘ride-by-wire’.
Menurut pihak Royal Enfield, tiada perubahan dilakukan pada bahagian enjin sekaligus perincian penuh kekal sama seperti yang ditawarkan Himalayan 450.

Guerrilla 450 mengguna pakai kerangka besi tubular yang sama dengan Himalayan 450 kecuali beberapa bahagian kecil. Namun, kedua-duanya menjadikan enjin sebagai bahagian tekanan utama (stressed member). Ciri itu memastikan pusat graviti motosikal berada di bahagian bawah lantas membuatkan jentera lebih stabil.
Sementara itu, Guerrilla 450 menampilkan fork depan 43mm jenis teleskopik dari Showa dengan jarak pergerakan 140mm di depan dan penyerap hentak tunggal dengan jerak pergerakan 150mm di belakang.

Dalam pada itu, pakej brek pula merangkumi cakera brek tunggal 310mm depan yang dipadankan bersama brek axial dua piston dan cakera brek 270mm belakang yang diapit kaliper satu piston. ABS dwi-saluran pula didatangkan secara standard.

Menariknya, Guerrilla 450 juga lebih mesra kepada penunggang yang lebih rendah berbanding Himalayan 450 ekoran ketinggian tempat duduk hanyalah 780mm berbanding 825mm.
Bagaimanapun, tangki bahan api pada Guerrilla 450 lebih kecil dengan 11 liter berbanding 17L pada Himalayan 450.

Untuk pasaran global, Guerrilla 450 hadir dengan dua varian namun bagi pasaran negara, hanya varian perdana yang dilengkapi dengan skrin TFT berwarna 4-inci ditawarkan disini.
Menariknya, panel meter TFT ini bukan sahaja boleh disambung ke telefon pintar bagi mendengar lagu dan menjawab panggilan malah turut dilengkapi dengan sistem navigasi penuh yang dikuasakan Google Maps. Panel meter TFT tersebut boleh diakses sepenuhnya menggunakan butang khas yang terletak di bahagian kiri ‘handlebar’.
GALERI: ROYAL ENFIELD GUERRILLA 450





















