Buletin

GEELY LANCAR ICON PROTAGIST, KHUSUS UNTUK WANITA – ENJIN 1.5T, 178HP, HARGA BERMULA RM76K

Geely secara rasmi melancarkan model baharu bernama Icon Protagonist yang bertemakan Independent Female dan dibina di atas platform BMA Geely, sama seperti Geely Binyue, Proton X50, Geely Binrui serta Lynk & Co 06.

Diposisikan sebagai SUV kecil, ia mempunyai dimensi 4,350mm (panjang), 1,815mm (lebar), 1,620mm (tinggi) dan jarak roda pada 2,640mm.

Dari luar, model ini tampil dengan kemasan dwi-warna, pemegang pintu tersembunyi serta diserlahkan lagi melalui rim bersaiz 19-inci.

Menjengah ke dalam kabin, ia didatangkan bersama panel instrumen 10.25-inci, skrin infotainmen 12.3-inci yang disokong oleh sistem Galaxy OS selain, terdapat pemegang cawan dan lampu ambien 72 warna.

Lebih menarik, ruang kokpit model ini menyokong pengecaman muka dan interaksi suara untuk berinteraksi dengan sistem infotainmen. Sebagai tambahan, Geely turut memuatkan ciri baharu iaitu tailgate elektrik serta tirai di bahagian belakang.

Secara keseluruhan, Icon Protagonist menawarkan lebih banyak konfigurasi berbanding versi Icon Chocolate antaranya fungsi bantuan pemanduan lanjutan tahap 2 seperti amaran perlanggaran dan bantuan pelepasan lorong, perakam pemanduan terbina dalam, imej panorama 540 darjah untuk navigasi atau tempat letak kereta serta pembersihan kokpit automatik.

Secara mekanikal, Icon Protagonist dipacu oleh enjin 1.5T, menghasilkan 178hp, 290Nm tork dan dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Kelajuan maksimum pula dihadkan pada 200km/j sementara daya pecutan dari 0-100km/j hanya mengambil masa selama 7.9 saat dengan penggunaan bahan api komprehensif 6.3L/100km.

Untuk harga, SUV kecil ini boleh dimiliki pada harga AS$17,000 (RM76,406).

GALERI:

Google ads
Back to top button