Buletin

GWM CANNON KINI TIBA DI MALAYSIA – DUA VARIAN, 66 UNIT TERSEDIA, ANGGARAN HARGA RM127K

Great Wall Motor (GWM) Malaysia melalui akaun Instagram rasmi mereka mengumumkan ketibaan GWM Cannon 2023 untuk pasaran Malaysia.

Untuk Kumpulan pertama, hanya 66 unit disediakan dan angka tersebut signifikan dengan tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-66.

Di pasaran Malaysia, terdapat dua varian ditawarkan iaitu P11 dan P12. Untuk makluman, kemungkinan besar unit P12 adalah spesifikasi Ultra, seperti dimaklumkan oleh beberapa pengedar di media sosial bulan lepas.

Dari segi reka bentuk, jelas perbezaan antara dua varian tersebut adalah terletak di bahagian gril. Bagi P11, ia menggunakan gril ‘nebula’, sementara P12 dipadankan gril hadapan berbingkai tebal dengan bar krom mendatar.

Perbezaan lain termasuklah P11 dipadankan bersama lampu berbentuk ‘hawk eyes’, manakala P12 direka lebih bersegi.

Di ruang kabin, trak pikap itu mendapat skrin infotainmen bersaiz 9-inci dan virtual instrumen LCD 7-inci dengan ketersambungan Apple Carplay serta Android Auto.

Beralih kepada kuasa, GWM Cannon P11 dan P12 dikuasakan oleh enjin turbo diesel bersesaran 2.0 liter, menghasilkan 161hp dan tork 400Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

Menurut GWM, model P12 mendapat ciri separa autonomi Tahap 2 serta kit keselamatan seperti enam beg udara, amaran perlanggaran ke hadapan, brek kecemasan autonomi dengan pengesanan pejalan kaki dan penunggang basikal.

Untuk harga pula, tiada pendedahan rasmi dibuat setakat ini namun ia dijangka diberi tanda harga sekitar RM101,905 sehingga RM123,000 bagi varian P11, sementara P12 pula dianggarkan RM127,000.

Google ads
"
"
Back to top button