Buletin

MAB PERLUAS TAWARAN TAMBANG FLEKSIBEL BERMULA 22 JUN 2020

Malaysia Airlines Bhd (MAB) melanjutkan pilihan tawaran tambang fleksibel kelas ekonomi membabitkan rangkaiannya bermula 22 Jun ini.

Bagaimanapun, tawaran berkenaan tidak melibatkan destinasi Malaysia ke Jepun, Jeddah dan Madinah.

Sebelum ini, pilihan tambang unik itu,  Lite, Basic, Flex hanya dihadkan untuk destinasi domestik, ASEAN dan Asia Selatan.

Ia menawarkan fleksibiliti, keselamatan, kelancaran serta pengalaman premium berdasarkan keperluan setiap pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Izham Ismail berkata susulan keadaan yang beransur pulih daripada pandemik COVID-19 dan orang ramai kembali menaiki pesawat, Malaysia Airlines berhasrat membawa mereka tanpa perlu berasa bimbang.

“Sebagai syarikat penerbangan pertama di rantau Asia Pasifik yang memperkenalkan pilihan tawaran tambang fleksibel di rangkaian sedia ada, inisiatif ini akan membolehkan tambang disediakan mengikut keinginan penumpang.

“Ini termasuklah pengalaman tempahan yang mudah serta hospitaliti Malaysia di dalam dan luar pesawat. Ia sekali gus mewujudkan pengalaman perjalanan udara yang lancar dan tanpa tekanan.

“Justeru, menerusi pilihan ini, kita berharap dapat menyuntik rasa yakin serta kepercayaan pelanggan untuk kembali melakukan perjalanan,” katanya dalam kenyataan di laman web MAB.

Izham berkata, semua penumpang juga berpeluang menikmati kelebihan serta perkhidmatan penuh penerbangan premium serba lengkap dalam tambang yang ditawarkan.

Ini termasuklah bagasi kabin sehingga 7 kilogram, minuman serta makanan/snek percuma ,selain akses kepada sistem hiburan yang disediakan khas di dalam pesawat Malaysia Airlines.

Google ads
Back to top button