
MACAM MANA ANDA BOLEH TERPERANGKAP DAN BELI KERETA BARU?
Berdasarkan kajian, kereta adalah perkara kedua terbesar yang dibeli oleh kebanyakan pengguna di seluruh dunia selepas rumah. Bagi pengguna di Malaysia, kajian mendapati 80% pembeli kereta akan memilih pinjaman selama 9 tahun untuk pembiayaan kenderaan bagi jenama tempatan.
9 tahun adalah satu tempoh yang lama dan pelik juga bagaimana pengguna boleh memilih satu-satu jenama untuk digunakan. Jadi kami cuba simpulkan beberapa faktor yang mendorong pembeli untuk membeli dan memilih kereta dari segi jenama dan juga model
1. Harga mampu milik – ini adalah faktor utama kenapa sesetengah model dibeli biarpun rekaannya adalah buruk dan pemanduannya biasa – biasa sahaja. Harga mampu milik ini belum tentu sama bagi setiap orang dan setiap model. Ada yang beranggapan RM 120,000 ini adalah murah dan juga ada yang berpendapat RM 50,000 sudah mahal
Sebagai contoh Perodua Bezza dan Proton Saga iaitu sebuah sedan segmen A 4 pintu dan juga ruang kargo yang besar dengan harga jualan di bawah RM 40,000 adalah sebuah kereta mampu milik bagi kebanyakan rakyat. Jadi tidak hairanlah kedua dua model ini laku keras dan tempoh menunggu adalah lama
2. Rekaan yang menarik – sejarah membuktikan pengguna di dalam negara agak sukar untuk menerima rekaan yang terlalu pelik dan mendahului zaman. Proton Juara, Fiat Multipla, Nissan Almera generasi pertama, dan Honda City generasi pertama adalah contoh dimana rekaan luarnya gagal menarik perhatian pembeli
Apatah lagi pelbagai gelaran yang diberikan oleh pengguna yang lain menyebabkan bakal pembeli rasa terbantut dan membatalkan niat untuk membeli kereta ini walaupun dari segi fungsi rekaan ini adalah bagus.
Pengeluar telah belajar dari kesilapan ini dan mula berhati-hati dalam menghasilkan rekaan seperti Honda City generasi 2009 dihasilkan dengan rekaan yang lebih sporti, Almera dihasilkan dengan cukup bergaya malah Proton Exora pun jauh lebih menarik berbanding dengan Juara.
3. Persepsi Jenama – bagi sesetengah anak muda, jenama luar negara adalah nampak lebih gah dan bergaya terutama bagi pembeli kenderaan pertama yang memulakan kerja selepas bergraduasi dari universiti. Siapa pakai jenama paling popular, akan nampak lebih hebat.
Ada pembeli yang memang sudah menjadi idaman semenjak dari kecil lagi dan sebati dengan jiwanya. Jadi pembeli ini akan setia dengan satu jenama sahaja. Bagi pembeli yang sudah matang, jenama kurang memainkan peranan. Asalkan penuhi bajet bulanan, jimat minyak dan cukup dengan aspek keselamatan pun memadai.
4. Berbaloi dengan harga – bagi sesetengah pembeli, mereka akan membuat penilaian apakah mereka mendapat produk yang setara dengan harga yang dibayar. Mungkin ada jenama kurang popular tetapi menawarkan pelbagai ciri menarik pada harga yang murah bagi menarik perhatian pembeli
Ini menjadikan bakal pembeli merasakan mereka membuat pilihan bijak berdasarkan nilai ringgit yang dibelanjakan. Sebagai contoh Proton S70 dan Proton X50 ditawarkan dengan harga yang sedikit murah daripada pesaing tetapi menawarkan pelbagai ciri moden yang canggih
5. Teknologi – ada pengeluar yang menawarkan teknologi terkini sebagai poin jualan menarik pada kenderaan mereka. Antaranya ialah transmisi yang lebih baik, enjin yang jimat serta berkuasa, platform atau cesi terkini, dan aspek keselamatan aktif yang terbaru.
Sesetengah generasi muda generasi X, Y, Z dan millenial yang terdedah pada teknologi terkini akan tertarik dengan faktor yang ditawarkan. Pada generasi ols school, ciri yang ditawarkan mungkin tidak masuk akal seperti gear yang perli dioperasikan pada skrin sesentuh. Tapi bagi golongan milennial, ciri ini adalah cukup hebat walaupun tak praktikal



