Artikel Pilihan

COFFEE AND CARS BAN MUSCLE CAR MODEN DARI ACARA MEREKA – SELAMA-LAMANYA PULAK TU

Coffee and Cars adalah salah satu perhimpunan automotif untuk kaki-kaki kereta yang berlangsung di Houston, Texas. Ia memang menjadi tempat jika anda ingin melepak dan berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan yang satu kepala namun acara tersebut akhir-akhir ini dicemari dengan insiden kemalangan akibat pemandu-pemandu yang suka berlagak. Terbaru Coffee and Cars telah mengharamkan terus muscle moden dari menghadiri acara mereka selama-lamanya.

Dengan kata lain Chevrolet Camaro, Dodge Charger dan Challenger adalah dilarang dari menghadirinya. Ia dimuatnaik dalam laman Instagram mereka dan merupakan lanjutan daripada pengharaman sementara yang dikenakan ke atas kereta-kereta otot November lepas.

Puncanya? Tentulah dari sebilangan pengunjung itu sendiri yang suka menekan-nekan pedal minyak sesuka hati dan membuat bunyi bising. Itu belum kira aksi burnout dan memecut untuk pulang sehinga terbabas dan mengakibatkan kemalangan. Korang rasa kereta apa yang selalu buat macam tu?

Sudah tentu ada yang mengkritik tindakan tersebut dengan alasan bukan semua pemandu muscle car moden berperangai seperti itu sewaktu meninggalkan acara. Masalahnya ramai yang buat macam tu dan takkanlah nak salahkan penganjur. Kalau kami pun sudah tentu kami akan ambil langkah yang sama. Bila timbul masalah sudah tentu penganjur yang kena menjawab dengan pihak berkuasa.

Acara macam ni sepatutnya berlangsung secara santai dan bukannya dicemari dengan aksi burnout dan memasak donat di atas permukaan jalan. Ia sekaligus membahayakan keselamatan orang  ramai.

Ada yang cadangan sistem saringan dan tempahan dan macam-macam lagi. Ini acara santailah bang bukan acara makan malam kat hotel 18 bintang. Orang buat acara mudah dan ringkas untuk tukar-tukar pendapat pasal kereta bukan nak makan tayar kereta salai.

Menariknya ramai yang menyokong larangan tersebut. Mereka telah diberikan amaran secukupnya. Malah tidak ada pemilik Lamborghini, Ferrari dan Porsche membuat aksi yang sama pada pertemuan tersebut. Nampak tak beza mentaliti pemilik. Sebab tu abang tak minat muscle car ni dik. Set-set MLM je minat benda-benda macam tu.

Google ads
Back to top button