
MAHAL DAH NI – CARA PENGELUAR BERJIMAT
Inflasi adalah salah satu faktor yang menyebabkan harga barangan pengguna semakin meningkat setiap tahun. Bagi memastikan perniagaan kereta boleh bernafas dan mencapai keuntungan yang ditetapkan, terdapat 2 strategi yang dilakukan oleh pengeluar setiap tahun
Pertama pengeluar akan menaikkan harga jualan kenderaan setiap kali model baru atau model facelift dikeluarkan. Kedua pengeluar akan melakukan beberapa perkara bijaksana bagi mengurangkan kos pengeluaran kenderaan tanpa disedari oleh pengguna. Antaranya ialah:
1. Kurangkan bahan kedap bunyi – ya ini cara yang bijak digunakan oleh pengeluar kerana pengguna tidak akan melihat bahan kedap bunyi yang dipasang di dalam pintu, lantai, dan juga bumbung serta firewall depan. Pengeluar akan mengurangkan bahan kedap bunyi dan dipasang di tempat penting sahaja
Contohnya bahan ini akan dipasang di pintu depan kiri dan kanan sahaja kerana “decision maker” akan berada di bahagian depan ketika memandu uji. Jadi bila pandu uji, pembeli akan terasa senyap tetapi anak atau penumpang lain akan terasa bising
2. Tukar kualiti span kusyen – ya jika anda perasan, kualiti span kusyen untuk pemandu dan penumpang juga adalah berbeza. Atas sebab sama di atas “decision maker” atau bakal pembeli akan duduk di tempat pemandu sahaja, jadi pengeluar akan gunakan span berkualiti tinggi di depan manakala kusyen belakang akan menggunakan span yang biasa digunakan untuk membasuh pinggan
3. Kulit tipu ori – bagi kenderaan dengan harga kurang dari RM 100,000 lupakan sahaja kusyen yang dibalut dengan kulit. Ini kerana kulit original adalah mahal. Jadi pengeluar memilih kulit campuran sintetik dengan PVC yang lebih murah.
Bila anda memandu lama, barulah belakang terasa lenguh. Malah penulis lagi suka pengeluar menggunakan fabrik berkualiti tinggi yang jauh lebih selesa dan murah
4. Lampu kabus – walaupun lampu moden sekarang menggunakan lampu LED yang lebih cerah, lengkap dengan ciri Auto High Beam atau Adaptif, penulis lagi suka pengeluar mengekalkan lampu kabus. Jika anda perasan banyak kereta baru sekarang tidak lagi memberi lampu kabus di depan
Adalah lebih baik lampu kabus dikekalkan dan hanya menggunakan mentol halogen dengan cahaya kuning bagi kegunaan kabus. Lampu LED berwarna putih kurang jelas pada waktu hujan terutama pada waktu malam disebabkan cahaya putih kurang memberi pantulan cahaya dalam hujan berbanding cahaya kuning
5. Kurangkan titik kimpalan – Sebagai contoh sesetengah komponen memerlukan sehingga 10 titik kimpalan dengan kaedah spot welding untuk menghasilkan cantuman dengan ketegaran tinggi. Tapi bagi mengurangkan kos, titik kimpalan ini akan dikurangkan sedikit. Lagi jimat dan selepas 100,000 kenderaan penjimatan tersebut akan pergi ke poket pengeluar
6. Tukar sistem audio – Mungkin sistem audio akan datang dengan ciri terkini, tapi kualiti audio menjadi semakin tak best. Salah satu sebabnya ialah pengeluar akan menukar sistem multimedia yang lebih murah, menggunakan pembesar suara biasa dan juga mengurangkan bilangan pembesar suara.
7. Ciri penyaman udara terhad – mungkin selepas kajian dan mendapati pengguna jarang menggunakan ciri tersebut, anda akan dapati pengeluar akan membuang sesetengah ciri penyaman udara seperti semburan penyaman udara di kaki dan juga ciri defroster untuk cermin depan
Malah sesetengah model tidak lagi membekalkan ciri pemanas cermin belakang untuk mengelakkan masalah kabus. Nasib baik pengelap cermin belakang masih lagi ada disebabkan peraturan jalan raya
Tapi kalau nak salahkan 100% pada pengeluar pun tidak adil juga, ini kerana disebabkan perubahan teknologi maka pengguna mahukan teknologi terkini dipasang pada kenderaan mereka. Penggunaan teknologi baru akan menaikkan harga jualan kenderaan
Kalau harga jualan terlalu mahal, maka kereta tersebut berisiko untuk tidak laku. Jadi pengeluar terpaksa “cilok” sana sini bagi memastikan produk mereka dijual pada harga yang sanggup dibayar oleh pembeli.