Buletin

MAHB AKAN TAMBAH 200 RUANG PARKIR DI LAPANGAN TERBANG SUBANG. LEBIH SELAMAT DAN MUDAH

Sesiapa yang pernah atau kerap pergi ke Lapangan Terbang Subang (SZB) pasti sudah masak dengan masalah tempat meletak kenderaan yang agak terhad. Apa yang ada sekarang ialah satu kawasan lapang seberang jalan dengan ruang parkir yang agak terhad. 

Lebih membimbangkan, kawasan itu gelap pada waktu malam dan kurang selamat. Namun, pengguna kini boleh menarik nafas lega kerana naik taraf ruang parkir di Lapangan Terbang Subang yang dijangka siap menjelang suku ketiga 2021 akan menawarkan tambahan 200 tempat letak kereta menjadi 1,000 ruang untuk kemudahan pengguna. 

Pengendalinya, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memberitahu kerja-kerja naik taraf itu melibatkan pemasangan lampu limpah berkuasa tinggi dan papan tanda arah yang lebih mudah. MAHB juga akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) yang terkini bagi menjamin keselamatan orang ramai. 

Keseluruhan 1,000 ruang parkir itu adalah seluas 34,484 meter persegi. Dua parkir yang dibaik pulih itu terletak di kawasan terminal dan Pusat MRO & Helicopter. Ia boleh digunakan oleh kakitangan di lapangan terbang berkenaan dan orang awam.  

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Datuk Mohd Shukrie Salleh, pelam pembangunan semula Lapangan Terbang Subang  dijangka dapat menyediakan potensi pertumbuhan optimum penerbangan komersial dan segmen aeroangkasa di sana, selari dengan pelan nasional. 

MAHB juga menjangkakan pertumbuhan penyewa dalam tempoh lima tahun pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang. Pelan tersebut merangkumi pembangunan kemudahan boleh sewa seperti hangar, bengkel pembaikan komponen pesawat serta kemudahan pembuatan aerostruktur bagi pihak ketiga. – Bernama

Google ads
Back to top button