TAHUKAH ANDA? SUZUKI DAH JUAL 25 JUTA KERETA DI INDIA!
Di banyak buah negara Asia, jenama nombor satu ialah Toyota namun ada beberapa negara yang didominasi pengeluar lain.
Di antaranya negara kita sendiri seperti yang diterajui Perodua dan Hyundai di Korea Selatan.
Satu lagi negara ialah India dan menariknya dikuasai Maruti Suzuki dengan 1,576,025 unit pada 2022. Pasaran India memang unik dengan Hyundai di tempat kedua.
Maruti Suzuki yang merupakan subsidiari Suzuki Motor Corporation sudah lama mendominasi pasaran kereta di India dan tahukah berapa jumlah jualan yang berjaya dicapai?
Sehingga 9 Januari 2023, Maruti Suzuki telah berjaya menjual 25 juta kereta di India!
Suzuki menandatangani perjanjian kerjasama dengan Maruti Udyog (sebelum Maruti Suzuki) pada 1982 dan mengeluarkan kereta pertama Maruti 800 pada Disember 1983.
Sejak itu dari tahun ke tahun Maruti Suzuki menguasai takhta jualan kereta di India. Beberapa model lain seperti Alto, WagonR dan Swift berjaya menambat hati ramai pengguna di India.
Sekarang ini terdapat 17 model yang dikeluarkan dan dijual di India dan Maruti Suzuki sedang mengukuhkan portfolionya di dalam segmen SUV yang semakin berkembang.
Maruti Suzuki telah melancarkan Grand Vitara baharu pada September 2022 dan menariknya turut dikongsi oleh Toyota sebagai model Urban Cruiser HyRyder.
Selain SUV, Maruti Suzuki sedang memfokuskan usaha bagi mempopularkan model hibrid dan CNG. Jualan kedua-dua model dengan teknologi tersebut dianggarkan mencecah 2.1 juta unit.
Dominasi Maruti Suzuki turut dibantu rangkaian jualan dan penyelenggaraan yang besar di India dengan lebih 3,500 outlet jualan kereta baharu.
Berikut pencapaian Maruti Suzuki di India:
- Disember 1983 – Maruti 800 pertama dikeluarkan
- Februari 2006 – Jualan kumulatif lima juta unit
- Ogos 2010 – Jualan model CNG bermula
- Februari 2012 – Jualan kumulatif sepuluh juta unit
- September 2015 – Jualan model hibrid bermula
- Julai 2019 – Jualan kumulatif 20 juta unit
- Februari 2022 – Jualan model CNG cecah sejuta unit
- Januari 2023 – Jualan 25 juta unit!
BACA: DAMD LANCAR KIT BADAN UNTUK SUZUKI HUSTLER
BACA: TAHUKAH ANDA? DAH 4 JUTA ENJIN SANGKUT SUZUKI KELUARKAN!
BACA: SUZUKI GSX-8S 2023, ENJIN 776CC BERKEMBAR SELARI, REKA BENTUK BOLEH TAHAN!