
MAS2024: VOGE PERTARUH ‘SEMUT MERAH’ 150 LAWAN JENAMA Y DAN H
Jenama motosikal China, Voge merupakan pesaing baharu bagi pasaran motosikal tempatan di Malaysia.
Jenama motosikal premium milik syarikat induk Loncin itu kini dipasarkan secara rasmi di Malaysia menerusi pengedar MForce Bike Holdings.

Ketika di Malaysia Autoshow 2024, Voge telah melancarkan dua model baharu namun tumpuan terarah kepada model ‘supermoped’ sulung, Formica Rossa 150 (FR150).
Bagi yang tertanya, Formica Rossa merupakan bahasa Itali yang diterjemahkan sebagai ‘semut merah’ dalam Bahasa Melayu. Ini kerana Voge dan MForce meletakkan ‘supermoped’ itu sebagai pesaing baharu yang akan ‘menyengat’ segmen kapcai 150cc yang didominasi Yamaha Y15ZR/Y16ZR dan Honda RS150/RSX.

Atas kertas, Voge FR150 dipacu enjin satu silinder 149.6cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 15.4hp dan 13.5Nm. Kami dimaklumkan enjin tersebut dibina menyerupai enjin Honda RS namun telah ditambah baik agar masalah melibatkan ‘balancer’ tidak berlaku.

Seperti Honda RS150/RS-X, FR150 juga dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan namun dipertingkat dengan sistem klac slipper.
Antara ciri lain ditawarkan termasuk:
- panel meter digital
- lampu LED dengan DRL (daytime running light)
- smartkey (keyless)
- port USB
- fork teleskopik dengan jarak pergerakan 83mm
- berat 123kg
- tangki bahan api 5.8L
- ABS dwi-saluran

Bagi pasaran Malaysia, Voge FR150 ini dijual pada harga RM8,888. Untuk perbandingan Honda RS-X dan Yamaha Y15ZR dan Y16ZR masing-masing dijual pada harga RM9.8k, RM9.4k dan RM11.3k.
GALERI: VOGE FR150























