
VOGE DS800X RALLY RASMI DI CHINA – 93.8HP, 81NM
Selepas dipamerkan di EICMA dua tahun lalu, VOGE dengan rasminya melancarkan DS800X Rally di China dengan harga jualan CNY39,980 (RM22.7k).
Ketika dipamerkan di EICMA, motosikal segmen adventure ini cukup mencuri tumpuan ekoran menawarkan ciri yang lebih baik berbanding pesaing lain dalam segmen yang sama.

Pertamanya, Voge DS800X Rally ini dipacu enjin parallel-twin 798cc yang berupaya menjana 93.8hp dan 81Nm sekaligus lebih berkuasa dari Suzuki V-Strom 800DE dan Yamaha Tenere 700. Untuk rekod, enjin ini merupakan unit yang sama terdapat pada BMW F 800 GS model 2016 namun telah ditala semula dan diberikan naik taraf tersendiri.
Dalam pada itu, Voge turut menawarkan fork KYB boleh laras sepenuhnya termasuk tayar Pirelli Scorpion Rally STR, ABS, traction control dan steering damper secara standard.

Tidak cukup dengan itu, DS800X Rally ini turut datang dengan kelengkapan terkini termasuk skrin TFT yang boleh disambungkan ke telefon pintar, pemanas tempat duduk dan grip serta tangki bahan api berkapasiti 24-liter.
Menariknya, model ini juga dilengkapi dengan fungsi ‘dashcam’ secara standard, satu ciri yang masih lagi asing pada motosikal segmen ini.

Atas kertas, DS800X Rally ini juga menawarkan ketinggian tempat duduk sekitar 850mm, jarak antara tayar 1,576mm serta jarak kelegaan tanah 220mm. Motosikal ini juga hanya 213kg sekaligus antara yang ringan dalam segmennya.
Bagi yang mempersoal kredibiliti Voge, perlu diingatkan bahawa mereka ini merupakan jenama premium milik Loncin yang juga mempunyai jalinan kerjasama 20 tahun dengan BMW. Loncin juga bertanggungjawab menghasilkan enjin bagi BMW C 400 X, C 400 GT, BMW F 750 GS, F 900 R, F 900 XR dan terbaru F 900 GS.
GALERI: VOGE DS800X RALLY








































