
AKTA PENGANGKUTAN JALAN 1987 AKAN DIPINDA – UBAHSUAI ENJIN DAN EKZOS BAKAL DISAMAN RM10K, MAK BAPAK PUN KENA SEKALI!
Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dipinda bagi meningkatkan hukuman bagi kesalahan melibatkan pengubahsuaian enjin motosikal dan ekzos daripada RM300 kepada RM10,000.
Di bawah peruntukan baharu akta itu, mereka yang menyertai lumba motosikal haram berdepan hukuman penjara jika didapati bersalah di mahkamah.
Pindaan tersebut dicadangkan bertujuan untuk menghukum ibu bapa, pemilik bengkel yang tidak bertanggungjawab dengan membenarkan pengubahsuaian motosikal untuk lumba haram.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak berkata cadangan pindaan itu dalam peringkat “amalan kawal selia yang baik” (GRP), yang melibatkan penglibatan dan perundingan dengan pihak berkepentingan.
“Mereka mampu membayar denda RM300. Sebab itu kami mencadangkan untuk mengenakan penalti kepada RM10,000 bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya lumba haram. Selain memberikan penunggang rasa kepuasan diri, perlumbaan haram juga boleh menyebabkan mereka melakukan aktiviti tidak sihat,” katanya.
Datuk Isham Ishak menjangkakan cadangan pindaan itu akan dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga tahun depan.
Kementerian berkenaan mahu pindaan itu melalui peringkat GRP bagi memastikan undang-undang tersebut dapat dilaksanakan dengan berkesan selepas mengambil kira pandangan semua pihak.
“Kami tidak mahu membuat pusingan U selepas memperkenalkan peraturan baharu. Kami mahu ia dilaksanakan dengan berkesan serta mendapat sokongan majoriti pemegang kepentingan.”
Beliau berpendapat bahawa perlumbaan haram harus ditakrifkan secara lebih luas termasuk mengubah suai ekzos dan enjin.
Dalam tempoh 10 tahun, kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal merangkumi 60 peratus daripada jumlah kematian yang berlaku akibat kemalangan jalan raya.
Justeru, langkah menaikkan denda, ditambah dengan penguatkuasaan yang berkesan, adalah cara terbaik untuk mendidik pengguna jalan raya terutama pelumba haram.
Dalam perkembangan berkaitan, Isham turut mengatakan kementerian akan mencadangkan laluan khas motosikal di semua jalan negeri dan persekutuan.
Di bawah Pelan Keselamatan Jalan Raya 2022-2030 yang dilancarkan pada Januari tahun ini, kerajaan menyasarkan mengurangkan separuh jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang 2030.
Di bawah pelan tersebut, kementerian telah mewajibkan sistem brek anti kunci (ABS) bagi semua motosikal 150cc dan ke atas, mulai 1 Jan 2025. Hal tersebut bagi memastikan penunggang mengurangkan risiko hilang kawalan ketika menunggang motosikal. Dengan adanya sistem ABS, motosikal akan mempunyai cengkaman yang lebih baik.
Pada 2020, polis merekodkan 418,237 kemalangan jalan raya, termasuk 4,634 kematian. Antara Januari dan September tahun lepas, terdapat 255,532 kemalangan dengan 3,302 kematian. – New Straits Times








