Artikel Pilihan

GAGAL DAPAT JET HARRIER DARI PEPSI, KINI LELAKI INI JUTAWAN AIR MILES LEPAS 30 TAHUN

Nama John Leonard mungkin tidak asing bagi mereka yang mengikuti antara kes perbicaan pemasaran Pepsi paling terkenal dalam sejarah Amerika Syarikat. Hampir 30 tahun lalu, beliau menjadi individu yang cuba menuntut sebuah jet pejuang Harrier Jump Jet daripada Pepsi selepas melihat tawaran tersebut dalam satu iklan televisyen.

Pada tahun 1996, Pepsi menyiarkan iklan promosi Pepsi Stuff yang memaparkan pelbagai hadiah yang boleh ditebus menggunakan Pepsi Points. Di penghujung iklan tersebut, sebuah jet pejuang Harrier Jump Jet dipaparkan bersama tulisan “7,000,000 Pepsi Points”.

Walaupun kebanyakan penonton menganggap ia sekadar gurauan pemasaran, Leonard mengambil tawaran tersebut secara serius. Dengan bantuan beberapa pelabur, beliau berjaya mengumpulkan dana yang diperlukan untuk memperoleh tujuh juta Pepsi Points sebelum menghantar permohonan rasmi kepada Pepsi bagi menebus jet berkenaan.

Bagaimanapun, Pepsi menolak tuntutan tersebut dengan alasan jet pejuang itu hanyalah elemen jenaka dalam iklan dan bukannya hadiah sebenar. Kes berkenaan akhirnya dibawa ke mahkamah sebelum memihak kepada Pepsi.

Hakim memutuskan bahawa tiada individu yang munasabah akan percaya sebuah jet pejuang tentera ditawarkan sebagai hadiah dalam promosi minuman ringan. Walaupun tewas di mahkamah, kisah Leonard terus menjadi legenda dalam dunia pemasaran dan pengiklanan.

Malah pada tahun 2022, Netflix menerbitkan dokumentari bertajuk Pepsi, Where’s My Jet? yang mengangkat semula kisah tersebut kepada generasi baharu. Apa yang menarik ialah selepas hampir tiga dekad, Leonard akhirnya menerima ganjaran yang lebih praktikal berbanding sebuah jet pejuang.

Sempena kempen Super Bowl 2026, syarikat penerbangan Frontier Airlines menghadiahkan beliau sebanyak tujuh juta Frontier Miles menerusi kempen yang dinamakan “The Big Redemption” sebagai sindiran kepada Pepsi dan juga kempen pemasaran sempena Super Bowl

Jumlah tujuh juta air miles itu cukup besar sehingga membolehkan Leonard menikmati penerbangan percuma untuk tempoh yang sangat lama atau selagi beliau hidup. Dalam kempen tersebut, beliau turut muncul dalam iklan khas bersama sebuah pesawat Airbus A320neo sebagai simbolik kepada impiannya yang tidak kesampaian untuk memiliki sebuah pesawat.

Menurut Leonard, ganjaran berupa air miles sebenarnya jauh lebih berguna berbanding jet pejuang yang pernah menjadi rebutan satu ketika dahulu. Selain tidak mempunyai lesen untuk menerbangkan jet tentera, kos operasi dan penyelenggaraan pesawat seperti Harrier Jump Jet juga terlalu tinggi untuk dimiliki secara peribadi.

Walaupun gagal memperoleh jet pejuang yang dijanjikan dalam iklan Pepsi hampir 30 tahun lalu, Leonard akhirnya mendapat sesuatu yang mungkin lebih bernilai bagi seorang pengembara tegar iaitu tujuh juta air miles yang boleh digunakan untuk menjelajah dunia bersama isteri dan anak-anak.

Google ads
Back to top button