Artikel Pilihan

MAZDA CX-5 BARU BUAT PEGAWAI ANCAP TERNGANGA

Mazda CX-5 generasi baharu sekali lagi membuktikan komitmen pengeluar Jepun itu terhadap aspek keselamatan apabila berjaya meraih penarafan lima bintang daripada Australasian New Car Assessment Program (ANCAP).

Bukan itu sahaja, CX-5 juga turut mencipta rekod baharu dengan mencatat skor tertinggi pernah direkodkan bagi kategori Vulnerable Road User Protection (VRU) di bawah protokol ujian keselamatan ANCAP yang diperkenalkan pada tahun 2023.

Dalam penilaian berkenaan, Mazda CX-5 memperoleh 93 peratus bagi kategori VRU sekali gus menjadi model pertama yang mencapai pencapaian tersebut sejak ANCAP memperkenalkan piawaian ujian yang lebih ketat.

Kategori ini menilai keupayaan sesebuah kenderaan melindungi pengguna jalan raya yang lebih terdedah seperti pejalan kaki, penunggang basikal dan penunggang motosikal, selain mengurangkan risiko pelanggaran melalui teknologi bantuan pemandu moden.

Menurut ANCAP, pencapaian luar biasa itu banyak disumbangkan oleh sistem Autonomous Emergency Braking (AEB) yang dipasang pada CX-5 baharu. Sistem tersebut diuji dalam pelbagai senario dunia sebenar termasuk mengesan pejalan kaki yang melintas, penunggang basikal, penunggang motosikal serta situasi kenderaan mengundur yang berpotensi melanggar pejalan kaki di belakang.

Kesemua ujian berkenaan menerima penarafan “Good”, iaitu tahap tertinggi dalam sistem penilaian ANCAP. Keputusan itu menunjukkan sistem keselamatan aktif Mazda bukan sahaja mampu mengesan pengguna jalan raya dengan pantas, malah berupaya mengelakkan pelanggaran atau sekurang-kurangnya mengurangkan impak sekiranya kemalangan tidak dapat dielakkan.

Selain mencipta rekod dalam kategori VRU, Mazda CX-5 turut menunjukkan prestasi cemerlang dalam aspek keselamatan keseluruhan. SUV itu memperoleh 90 peratus bagi perlindungan penumpang dewasa dan 91 peratusuntuk perlindungan penumpang kanak-kanak.

Gabungan keputusan tersebut bersama skor 93 peratus dalam kategori VRU melayakkan semua varian Mazda CX-5 menerima penarafan keselamatan lima bintang ANCAP.

Bagi kategori perlindungan kanak-kanak, ANCAP turut memuji prestasi CX-5 dalam ujian pelanggaran dinamik, selain kemudahan memasang kerusi keselamatan kanak-kanak menggunakan sistem ISOFIX dan top tether.

Pengarah Urusan Mazda Motors New Zealand, David Hodge menyifatkan penarafan lima bintang yang diterima sebelum pelancaran rasmi model tersebut sebagai satu permulaan yang amat positif. Mazda CX-5 yang terkenal sebagai sebuah SUV yang menawarkan pengalaman pemanduan menyeronokkan serta praktikal untuk kegunaan harian, dan kini ia turut menetapkan penanda aras baharu dari segi keselamatan.

Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan reputasi Mazda sebagai antara pengeluar yang memberi penekanan serius terhadap pembangunan teknologi keselamatan aktif. Dengan skor 93 peratus dalam kategori Vulnerable Road User Protection, Mazda CX-5 bukan sahaja memenuhi piawaian keselamatan semasa, malah menetapkan aras baharu untuk dicabar oleh model-model lain pada masa hadapan.

Google ads
Back to top button