Buletin

MAZDA EZ-6 DILANCARKAN DI CHINA DENGAN TANDA HARGA BERMULA RM101K

Model terbaru dari Changan Mazda, dikenali sebagai “EZ-6”, yang dikhabarkan sebagai pengganti Mazda 6, telah dilancarkan di China dengan harga mengejutkan antara RM101,000 hingga RM126,000.

Model ini dipamerkan buat kali pertama di Beijing Motor Show pada April tahun ini dan kini telah tersedia untuk pra-tempahan sebanyak 10,000 unit di laman web Changan Mazda.

Apa yang mengejutkan ramai adalah harga EZ-6 ini, yang tersedia dalam dua varian: model PHEV (kenderaan hibrid plug-in) dan model EV tulen.

Kedua-dua model ini ditawarkan pada harga yang sama, iaitu antara 160,000 hingga 200,000 yuan (sekitar RM101,000 hingga RM126,000).

Dari segi spesifikasi, model PHEV EZ-6 dilengkapi dengan enjin 1.5L di bahagian hadapan yang berfungsi sebagai penjana elektrik.

Bateri asasnya berkapasiti 18.9kWh manakala varian lebih tinggi mempunyai bateri 28.4kWh, dengan kuasa motor yang sama untuk semua model, iaitu 160kW (218ps) / 320Nm.

Dalam mod EV, jarak pemanduan adalah antara 130km hingga 200km, manakala dengan tangki minyak penuh, ia boleh mencapai jarak sehingga 1,300km.

Bagi model BEV, bateri 56.1kWh dipasang pada varian standard, manakala varian yang lebih tinggi dilengkapi dengan bateri 68.8kWh.

Kuasa motor mencapai 190kW (258ps) / 320Nm, dengan jarak pemanduan sehingga 480km untuk standard dan 600km untuk varian tertinggi.

Bateri ini juga boleh dicas dari 30 peratus hingga 80 peratus dalam masa hanya 15 minit, menjadikan ia sebagai pilihan yang praktikal dan moden.

Harga yang ditetapkan bagi EZ-6 ini menjadikannya bersaing dengan model kereta enjin pembakaran dalaman seperti CX-5 dan CX-50.

Adakah ini langkah bijak Mazda seterusnya? Kita tunggu dan lihat!

Google ads
Back to top button