TOKYO AUTO SALON 2025 BERLANGSUNG 10 – 12 JANUARI 2025, TIKET DIJUAL BERMULA 1 NOVEMBER
Tokyo Auto Salon Association baru-baru ini telah mengumumkan bahawa TOKYO AUTO SALON 2025, salah satu pameran kereta custom dan produk berkaitan automotif terbesar di dunia, akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat, 10 Januari sehingga Ahad, 12 Januari 2025 di Makuhari Messe.
Dianjurkan buat kali pertama pada tahun 1983 sebagai Tokyo Exciting Car Show, acara ini telah berkembang dan akan memasuki edisi ke-43 pada tahun 2025.
Selain koleksi kereta custom dan produk berkaitan, terdapat juga pelbagai reruai yang menawarkan jualan alat ganti dan barangan automotif, menjadikan pameran ini juga sebagai syurga membeli-belah bagi peminat kereta.
Bukan itu sahaja, pengunjung boleh menikmati pelbagai kandungan hiburan seperti persembahan demo kereta lumba di arena luar dan pentas persembahan yang menampilkan barisan artis terkenal.
Sebagai pusat trend kereta custom terkini, kandungan pameran TOKYO AUTO SALON telah mengalami perubahan seiring peningkatan jumlah peserta dan kepelbagaian pameran.
Acara ini kini juga berfungsi sebagai platform penting untuk pengeluar kereta mengadakan sidang media, memperkenalkan model terbaru mereka serta mengumumkan aktiviti sukan permotoran yang bakal dijalankan sepanjang tahun.
Dengan populariti kereta custom semakin meningkat di peringkat antarabangsa, TOKYO AUTO SALON telah berevolusi menjadi acara global yang dinantikan oleh peminat automotif dari seluruh dunia.
Sejak tahun 2000-an, pameran dengan nama AUTO SALON turut diadakan di luar negara, memperkukuhkan pengaruh pasaran kereta custom Jepun di peringkat global.
Tiket untuk TOKYO AUTO SALON 2025 akan mula dijual secara dalam talian pada 1 November, jam 10 pagi JST.
Maklumat lanjut mengenai jualan tiket boleh didapati di laman web rasmi TAS pada halaman TICKET.
- BACA: HONDA PRELUDE BAHARU DENGAN PILIHAN TRANSMISI MANUAL – BETUL KE NI?
- BACA: WRC 2024 – THIERRY NEUVILLE MAHUKAN KEJUARAAN WRC INDIVIDU TERLEBIH DAHULU. UNTUK PENGELUAR KITA WAT LEK WAT PIS SEKEJAP
- BACA: KPDN PULAU PINANG SITA 216 UNIT HELMET JENAMA ARAI TIRUAN
- BACA: AKSES MYJPJ WAJIB GUNA MYDIGITAL ID BERMULA 10 OKTOBER