Artikel Pilihan

HONDA PRELUDE BAHARU DENGAN PILIHAN TRANSMISI MANUAL – BETUL KE NI?

Honda mengejutkan ramai peminat dengan kemunculan Prelude pada Japan Mobility Show than lepas. Coupe elegan itu dikhabarkan bakal didatangkan dengan trenkuasa hibrid. Kini khabar terbaru dari Jepun menyatakan yang akan ditawarkan dengan transmisi manual enam-kelajuan! Kalau benar nampak ia akan menurut jejak Honda CR-Z yang sebelum ini turut ditampilkan dengan pilihan kotak gear manual.

Khabar tersebut macam biasa datangnya dari Best Car Jepun menyatakan Prelude baharu ini akan menggabungkan enjin 2.0 liter hibrid dengan motor elektrik berkembar dari Accord dan kotak gear 6MT dari Honda Civic RS yang cuma ditawarkan untuk pasaran Jepun. Kalau tiada talaan lain dilakukan pada enjin, kuasa Prelude baharu ini dianggarkan sekitar 204 hp dengan 335 Nm tork maksima.

Dengan kata lain Prelude baharu ini bukan sekadar Accord ataupun Civic yang diubah nama. Ia akan menjadi coupe sport yang sama seperti sebelumnya. Kuasanya tidak jauh beza dari Prelude generasi kelima yang ditamatkan pengeluarannya sekitar tahun 2001 dulu. Masa tu inilah kereta idaman abang dik. Ternganga mulut tengok ada awek cun pandu Prelude merah kat Pantai Dalam dulu dekat kedai Wira Seafood.

Satu lagi ciri penting mesti ada sebagaimana tradisi Prelude sebelum ini. Kena ada sunroof. Sunroof betul, tak nak la sunroof dummy yang boleh dibeli dari Sopi Motorsport. Sunroof mula dipasang pada Prelude seawal generasi pertama. Malah Prelude sendiri merupakan kereta pertama dari Jepun yang mempunyai sunroof sejak diperkenalkan pada tahun 1978.

Honda sudah mengesahkan Prelude akan memasuki pasaran Eropah dan semestinya Jepun. Malaysia? Belum tahu lagi tetapi tidak mustahil ia akan dibawa masuk ke Malaysia. Ingat dulu pun hanya Malaysia selain Jepun yang mempunyai Honda Civic FD2R. Negara lain mana dapat?

Google ads
Back to top button