Buletin

MAZDA KELUAR DARI PASARAN INDONESIA, HAK PENGEDARAN DIBERI KEPADA EUROKARS

Memetik laporan The Jakarta Post pada hari ini, Mazda Motor Corporation telah melantik Eurokars Motor Indonesia, anak syarikat Eurokars Group, selaku pengedar kenderaan Mazda di Indonesia.

Langkah itu dibuat berikutan keputusan Mazda untuk keluar dari pasaran republik tersebut.

Jurucakap Eurokars Group, Angeline Tan memberitahu rangkaian pengedaran Mazda yang terdiri daripada 45 cawangan pengedar akan diserahkan secara rasmi kepada Eurokars Indonesia oleh Mazda Motor Indonesia pada Februari tahun depan.

Mazda3-facelift-2017-mekanika (3)

“Pelantikan untuk mewakili jenama Mazda di Indonesia sememangnya satu pencapaian signifikan buat Eurokars Group. Ia juga membuktikan sinergi kerjasama di antara Mazda Motor Corporation dan Eurokars Group untuk mengendalikan semua aspek pengedaran Mazda di negara ini,” kata Angeline dalam satu kenyataan rasmi di Jakarta.

Dengan perkembangan itu, Eurokars akan mengambil alih semua kakitangan dan pengedar sedia ada yang kini berada di bawah Mazda Indonesia. Ia juga bertanggungjawab ke atas aspek selepas jualan dan jaminan semua kenderaan yang telah dijual oleh Mazda Indonesia.

Ditubuhkan pada tahun 1985, Eurokars menjadi pengedar kenderaan Mazda di Indonesia (2007). Ia kemudian mengambil alih pengedaran Mazda di Singapura pada tahun 2011.

Mulai November, entiti perniagaan Mazda Indonesia akan bertukar daripada pengedar tunggal kepada pengedar produk keluaran Mazda Motor Corporation.

Google ads
Back to top button