Buletin

MAZDA TAWAR CX-8 DENGAN ENJIN 2.5 TURBO DI JEPUN – 230hp, TORK MAKSIMUM 420Nm

Mazda baru-baru ini menambah pilihan enjin pada SUV CX-8 untuk pasaran Jepun. SUV tujuh tempat duduk itu tanpa disangka mendapat sambutan hangat sehinggakan Mazda terpaksa menawarkan enjin 2.5 liter turbo.

CX-8 mula diperkenalkan ke pasaran pada Disember 2017 dengan enjin diesel 2.2 liter. Namun, memandangkan perkembangan semasa yang tidak memihak kepada enjin diesel dan CX-8 laku tak ingat, maka Mazda pun menambah enjin aspirasi biasa 2.5 liter Skyactiv-G.

Enjin 2.5 liter turbo mampu menjana kuasa sehingga 230hp dan tork puncak 420Nm. Turut dipasang pada model Cx-5 dan CX-9, enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan automatik.

Hadir dalam varian yang dikenali sebagai CX-8 Proactiv dan L Package, SUV itu menerima penambahbaikan yang tidak ketara. Antara ciri baharu yang ditambah ialah G-Vectoring Control Plus.

Ia berfungsi menggunakan brek untuk meningkatkan kestabiln ketika kenderaan menukar haluan pada kelajuan tinggi. Pasukan jurutera Mazda juga memasang bar penstabil lebih tebal pada bahagian hadapan dan lebih nipis di belakang agar jentera itu semakin stabil.

Sebagai sebuah model untuk tahun 2019, CX-8 dilengkapi sistem Android Auto dan Apple CarPlay yang serasi dengan Google Maps.

Bukan itu sahaja, model baharu itu hadir dengan tempat duduk ventilasi, paparan instrumen TFT bersaiz 7.0 inci, tingkap belakang tanpa bingkai, lampu kabin LED dan rim aloi 19 inci bersama kemasan kelabu berkilat.

Di Jepun, CX-8 ditawarkan pada harga bermula 2.9 juta yen (RM107,800) seunit.

Google ads
Back to top button