Buletin

RAMAI PEMANDU TIDAK JELAS TENTANG PERATURAN JALAN RAYA – KAJIAN DI UK

Sejak kerajaan beralih kepada Pakatan Harapan, penguatkuasaan undang-undang jalan raya semakin ketat. Contoh paling jelas ialah saman AES atau nama baharu AWAS kini dengan kompaun yang lebih tinggi.

Untuk pemilik kenderaan yang mempunyai saman trafik dari DBKL pula, butiran anda akan diserahkan kepada JPJ untuk disenarai hitam.

Di negara maju begitu juga tahap penguatkuasaannya, memang ketat dan ada yang lebih berat.

Di sebalik penguatkuasaan undang-undang jalan raya ada satu kajian di United Kingdom dengan dapatan yang mengejutkan.

Kajian oleh IAM RoadSmart iaitu badan kebajikan keselamatan jalan raya terbesar di UK mendapati ramai pemandu di sana tidak begitu memahami peraturan jalan raya seterusnya membahayakan diri dan orang lain.

Lebih daripada 1,000 pemandu mengambil bahagian dalam tinjauan ini bagi menguji pengetahuan mereka tentang Kod Lebuh Raya (Highway Code).

Daripada jumlah tersebut, lebih daripada 50 peratus mengakui pengetahuan mereka begitu rendah sehingga tidak dapat mengenal pasti isyarat tanda bulatan (roundabout).

Lebih daripada dua pertiga pemandu pula mengakui mereka tidak memahami peraturan dua saat.

Secara spesifik, 68 peratus tidak mengetahui tentang kaedah menjarakkan kenderaan dengan sela dua saat dalam cuaca pemanduan kering dengan 53 peratus keliru apabila menganggap dua saat itu bersamaan dua jarak kereta.

Apabila ditanya tentang apa yang patut lakukan apabila tiba di tempat kemalangan serius, sejumlah 48 peratus tidak mengetahui bahawa mereka perlu memberi amaran kepada pemandu lain dengan menghidupkan lampu kecemasan (bukan hidupkan semasa memandu dalam cuaca hujan).

Selain itu, lebih daripada separuh gagal untuk memahami bahawa papan tanda dengan tanda bulat adalah arahan trafik.

Contoh mudah ialah nombor 80 yang diletakkan dalam bulatan bermakna peraturannya ialah memandu mengikut angka tersebut dan bukan suka-suka untuk tempelan sahaja.

Dengan begitu ramai pemandu muda yang tidak jelas tentang peraturan jalan raya, IAM RoadSmart mencadangkan agar bidang keselamatan jalan raya dimasukkan ke dalam kurikulum pendidikan kebangsaan.

Ini satu saranan bagus dan elok juga dilaksanakan di negara kita. Bukan sahaja pendidikan malah patut diajar sekali risiko dan kesan kemalangan yang begitu menyedihkan.

BACA: SUSAH KE NAK HIDUPKAN CUKAI JALAN MOTOR YANG DAH MATI LEBIH SETAHUN?

BACA: HADLAJU JALANRAYA PERLU DIMANSUHKAN – KAJIAN JABATAN PENGANGKUTAN UK

Google ads
Back to top button