Buletin

MAZDA2 HYBRID – VERSI REBADGED TOYOTA YARIS TNGA!

Mazda secara rasmi telah melancarkan model hatchback mini Mazda2 Hybrid untuk pasaran Eropah.

Macam pernah lihat, dan memang benar tekaan anda, di mana model ini secara asasnya merupakan Toyota Yaris yang telah ditukarkan lencananya.

Ini bermakna, selain daripada logo Mazda dan emblem Mazda2 di hadapan dan belakang, ia masih lagi membawakan rekaan asal yang terdapat pada Toyota Yaris TNGA.

Pendekatan yang sama telah digunakan oleh Toyota sebelum ini di Amerika Syarikat, di mana mereka menggunakan asas Mazda2 sebagai Toyota Yaris (versi rebadged) yang dijual antara tahun 2016 hingga 2020.

Dari segi dimensi, ia tidak banyak berubah berbanding model penderma Yaris, dengan panjang sekitar 3,940 mm, serta jarak antara roda sepanjang 2,550 mm.

Sistem hibrid Toyota yang digunakan terdiri daripada nadi 1.5 liter tiga silinder sebaris yang mampu menghasilkan 91 hp, motor elektrik berkuasa 79 hp yang memacu roda hadapan, serta motor sekunder yang digunakan untuk memulakan enjin dan mengecas bateri lithium-ion.

Secara keseluruhannya, sistem ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 114 hp dan daya kilas 169 Nm, dibantu dengan sistem brek regeneratif, dan penggunaan bahan api serendah 3.8 liter/100 km.

Menurut Mazda, pengenalan model yang ditukarkan lencana ini mampu untuk mengurangkan emisi purata keseluruhan armadanya di Eropah, di mana mereka merancang untuk mengurangkan emisi telaga-ke-roda (well-to-wheel) sebanyak 50 peratus menjelang 2030 dan mencapai neutral karbon menjelang 2050.

Google ads
Back to top button